KENYATAAN MEDIA
SERAMAI 169,803 CALON LEPASAN SPM DITAWAR TEMPAT KE
IPTA MENERUSI UPUOnline®
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang telah mengemukakan permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) meliputi Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) menerusi UPUOnline®.
Pada tahun ini, KPT telah menerima 235,480 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline®. Seramai 169,803 calon (72.11%) telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian.
Daripada jumlah tersebut, seramai 91,357 calon ditawarkan di UA, 60,947 calon ditawarkan di Politeknik, 15,844 Kolej Komuniti dan 1,655 di MARA BPT.
KPT menawarkan Laluan Khas bagi kumpulan tersebut iaitu 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 Atlet dan 10,499 bagi Kategori B40. Selain itu, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah mendapat tawaran. Malah, buat pertama kalinya, semua program pengajian turut dibuka untuk dipohon oleh calon Orang Kurang Upaya (OKU) berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil kepada semua.
KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon-calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas. Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Secara keseluruhannya, sebanyak 363 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 41 Sijil, 57 Asasi, 264 Diploma dan 1 Ijazah Sarjana Muda. Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 22 Mei 2026, jam 12.00 tengah hari hingga 31 Mei 2026, jam 5.00 petang.
Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
22 MEI 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 220
