logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS APRESIASI ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2022


  1. Saya telah menyempurnakan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2022 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
  1. Dalam ucapan saya, ada tiga (3) perkara yang saya telah tekankan kepada warga KPT dalam memastikan KPT sentiasa relevan, efisien dan berupaya menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat.
  1. Pertama, kakitangan kementerian adalah tunggak utama kejayaan kementerian. Warga KPT mesti mempamerkan prestasi yang cemerlang, bergerak secara cekap dan pantas demi negara. Warga juga perlu sentiasa proaktif dan mengambil inisiatif untuk memberi lebih daripada apa yang diminta.
  1. Kedua, kepentingan untuk mempunyai pelan pembangunan bakat dan pembinaan kapasiti yang baik. Perkembangan sektor pendidikan tinggi dan sistem penyampaian secara umumnya, menuntut warga kementerian menjadi kakitangan yang cakna dan berkebolehan. Saya menyarankan agar pengurusan kementerian menyediakan latihan terbaik kepada warga KPT. Latihan ini boleh dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sektor korporat dari dalam mahupun luar negara.
  1. Ketiga, kementerian perlu mengadaptasi dan mengangkat teknologi. Teknologi maklumat, aplikasi kecerdasan buatan, dan platform komunikasi mesti menjadi sebahagian dari pendekatan KPT dalam memikul tugas perkhidmatan awam. Saya percaya melalui teknologi maklumat, kecekapan perkhidmatan akan dapat ditingkatkan dan isu ketirisan dan integriti dapat diatasi.
  1. Pengiktirafan ini merupakan satu penzahiran penghargaan oleh pihak kementerian kepada semua yang telah mempamerkan komitmen, disiplin serta kesungguhan dalam melunaskan amanah yang dipertanggungjawabkan.
  1. Semoga anugerah pada hari ini akan terus membakar semangat kepada semua penerima untuk bekerja dengan lebih kuat serta menjadi satu motivasi kepada warga KPT yang lain untuk meningkatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan masing-masing.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

1 JUN 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPT Tahun 2022.pdf (137 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6455
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 14 Jun 2024, 19:20:56.