logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DI INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI AWAM


  1. Saya telah melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023 - 2030 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak hari ini.
  1. Pelan Tindakan ini merupakan kesinambungan dari Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011 - 2015 dan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (UA) 2016 -
  1. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menerusi satu Kajian Penggunaan Bahasa di IPTA mendapati bahawa penggunaan Bahasa Melayu di dalam program-program pengajian IPTA berada pada tahap yang berbeza-beza merentasi pelbagai disiplin program.
  1. Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil pendirian bahawa satu intervensi mesti dilakukan bagi meningkatkan kedudukan Bahasa Melayu dan meletakkannya di kedudukan yang penting dalam ekosistem pendidikan tinggi.
  1. Pelan Tindakan yang baru dilancarkan ini mensasarkan 4 objektif utama dan dipacu melalui 4 teras. Pihak Kementerian telah menyenaraikan 11 strategi dan 26 inisiatif pelaksanaan bagi IPTA menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan ini.
  1. Pihak Kementerian percaya bahawa IPTA adalah salah satu daripada pentas penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu atas beberapa sebab, antaranya:
    • IPTA mempunyai tanggungjawab untuk bersama-bersama Kerajaan menggalas misi nasional. IPT tidak boleh melihat institusinya terpisah daripada agenda nasional;
    • Tindakan golongan bijak pandai adalah suri teladan terbaik kepada masyarakat. Universiti mesti menunjukkan dengan jelas, dan tegas, kepentingan Bahasa Melayu dan potensinya sebagai bahasa ilmu;
    • Universiti mempunyai potensi dalam membangun kekuatan Bahasa Melayu. Pengunaan Bahasa Melayu harus merentas disiplin ilmu dan bukan sekadar medium pengantar untuk pembelajaran berkaitan bahasa atau budaya orang Melayu
  1. KPT akan turut memanjangkan inisiatif-inisiatif dalam memartabatkan dan mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ke Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) secara berperingkat-peringkat.
  1. Bagi pihak Kementerian, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama memastikan pelaksanaan pelan ini secara serius dan bersungguh-sungguh. Semua pihak harus bersama-sama berusaha untuk terus mencari idea dan pendekatan terbaik, agar Bahasa Melayu dapat kita angkat ke kedudukan yang selayaknya.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

15 JUN 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Di Institusi Pendidikan Tinggi Awam.pdf (91 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9465
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 09 November 2024, 12:54:17.

logo-sirim