logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN YBRS. PROF. DR. AZLINDA AZMAN
SEBAGAI KETUA PENGARAH PENDIDIKAN TINGGI YANG BAHARU

Sukacita dimaklumkan bahawa YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) yang baharu, berkuat kuasa mulai 31 Mei 2023 sehingga 30 Mei 2025. Beliau menggantikan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar yang telah bersara wajib pada 10 Mac 2023.

Prof. Dr. Azlinda, 55 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kerja Sosial) dari Universiti Sains Malaysia sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama. Beliau antara segelintir individu yang terpilih dan dianugerahkan Biasiswa Fulbright untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dalam Kerja Sosial Klinikal di New York University (NYU), Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Prof. Dr. Azlinda merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sains Malaysia. Selain memiliki pengalaman kerja dan pentadbiran yang luas, beliau juga merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang disegani terutama dalam bidang kerja sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Prof. Dr. Azlinda merupakan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama Kebangsaan Pendidikan Kerja Sosial Malaysia dan juga merupakan Konvenor Kumpulan Tindakan dan Penyelidikan AIDS (AARG), USM sejak 2011. Pada tahun 2021, beliau telah dianugerahkan Ikon Akademik Kerja Sosial oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dengan rekod kepimpinan dan pencapaian pendidikan yang cemerlang, Kementerian yakin bahawa pelantikan Prof. Dr. Azlinda berupaya melonjak prestasi Jabatan Pendidikan Tinggi ke tahap yang lebih tinggi dan turut memperkasa ekosistem pendidikan tinggi berpaksikan kecemerlangan.

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Dr. Husaini Omar atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui Jabatan Pendidikan Tinggi sebelum ini.

 

Kementerian Pendidikan Tinggi
31 MEI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman Sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Yang Baharu.pdf (101 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 12083
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 12 Julai 2024, 03:02:21.