Kenyataan Media - Dasar Kemasukan Pelajar Antarabangsa Tidak Khianati Pelajar Tempatan, Perkukuh Daya Saing Universiti di Persada Global

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

DASAR KEMASUKAN PELAJAR ANTARABANGSA TIDAK
KHIANATI PELAJAR TEMPATAN, PERKUKUH DAYA SAING
UNIVERSITI DI PERSADA GLOBAL


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, YB Dr. Haim Hilman Abdullah, yang mendakwa kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Awam (UA) telah mengurangkan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian. KPT menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, mengelirukan dan gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.

Kenyataan sedemikian bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah menjejaskan reputasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di mata dunia. Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukanlah dasar baharu atau dasar yang diwujudkan secara ‘ad hoc’. Ia merupakan dasar kebangsaan yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) tahun 2007 bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Hari ini, Malaysia menjadi destinasi pilihan pelajar daripada lebih 180 buah negara hasil pengiktirafan terhadap kualiti program akademik, kecemerlangan penyelidikan, kepakaran tenaga akademik serta kos pendidikan yang kompetitif. 

Program Prasiswazah dan Pascasiswazah Mempunyai Tujuan Berbeza

Dalam sistem Universiti Awam, terdapat dua kategori utama pengajian iaitu:

  • Program prasiswazah (Ijazah Sarjana Muda dan Ke Bawah), yang memberi penekanan kepada penyediaan akses pendidikan tinggi kepada pelajar tempatan (keutamaan) dan pelajar antarabangsa (berdasarkan prinsip ‘over and above’); dan
  • Program pascasiswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah), yang terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa berdasarkan kelayakan akademik serta kapasiti penyelidikan universiti.

Kedua-dua kategori ini mempunyai objektif, mekanisme kemasukan serta sasaran yang berbeza. Justeru, apabila YB Haim menggabungkan jumlah pelajar bagi kedua-dua kategori untuk mewujudkan persepsi bahawa pelajar antarabangsa “mengambil tempat” pelajar tempatan adalah satu gambaran yang tidak tepat serta mengelirukan masyarakat.

Fakta Sebenar Mengenai Enrolmen Pelajar Antarabangsa

Berdasarkan data rasmi KPT menerusi sistem MyMoheS sehingga 31 Disember 2025:

  • Jumlah keseluruhan enrolmen pelajar di IPT Awam dan Swasta ialah 1,264,541 orang.
  • Daripada jumlah tersebut, pelajar antarabangsa hanyalah 159,138 orang, iaitu sekitar 12.6%.

Bagi Universiti Awam pula:

  • Jumlah keseluruhan enrolmen ialah 634,706 orang.
  • Pelajar antarabangsa hanyalah 56,565 orang, iaitu 8.9% daripada keseluruhan enrolmen.

Pembahagian jumlah pelajar Malaysia dan pelajar antarabangsa mengikut program kemasukan :

  • Jumlah Prasiswazah = 520,105
  • Jumlah Pelajar Malaysia = 502,212 (96.56%)
  • Jumlah Pelajar Antarabangsa = 17,893 (3.44%)
  • Jumlah Pascasiswazah = 114,601
  • Jumlah Pelajar Malaysia = 75,929 (66.26%)
  • Jumlah Pelajar Antarabangsa = 38,672 (33.74%)

Data ini dengan jelas menunjukkan bahawa majoriti pelajar antarabangsa berada di peringkat pascasiswazah, bukannya bersaing mendapatkan tempat bersama lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma yang memohon ke program prasiswazah.

Universiti Penyelidikan Berfungsi Sebagai Pusat Penyelidikan Global

Timbul dakwaan bahawa pelajar antarabangsa di lima Universiti Penyelidikan (RU) iaitu UM, USM, UKM, UPM dan UTM ‘merampas’ tempat pelajar tempatan. Hakikatnya, jumlah enrolmen di lima universiti tersebut ialah 186,824 orang:

  • 145,727 orang (78%) merupakan pelajar tempatan.
  • 41,097 orang (22%) merupakan pelajar antarabangsa.

Daripada 41,097 pelajar antarabangsa itu pula:

  • 28,135 orang (68.5%) berada di peringkat pascasiswazah.
  • 12,962 orang (31.5%) berada di peringkat prasiswazah yang mana kemasukan melalui laluan terbuka yang dilaksanakan secara ‘over and above’ iaitu kuota arus perdana (UPUOnline) dipenuhi terlebih dahulu sebelum saluran tambahan dibuka.

Keadaan ini selaras dengan fungsi Universiti Penyelidikan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, inovasi, penerbitan ilmiah dan jaringan akademik antarabangsa. Kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat ini adalah satu keperluan strategik bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.

Kehadiran Pelajar Antarabangsa Mengukuhkan Universiti, Bukan Mengambil Hak Rakyat Malaysia

Pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di Malaysia:

  • membayar yuran penuh tanpa menerima subsidi Kerajaan;
  • perlu memenuhi syarat akademik serta proses saringan universiti yang sama ketat;
  • menyumbang kepada pengukuhan kewangan universiti melalui pembayaran yuran;
  • membantu universiti menambah baik kemudahan pembelajaran dan penyelidikan;
  • meningkatkan kerjasama penyelidikan antarabangsa, penerbitan berimpak tinggi serta kedudukan universiti dalam penarafan dunia.

Selain itu, kehadiran mereka turut mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, memperkukuh interaksi silang budaya dan menyediakan pengalaman global kepada mahasiswa tempatan tanpa perlu meninggalkan negara.

Sistem Pendidikan Tinggi Negara Terus Diyakini

Negara China terus menghantar pelajar-pelajarnya menyambung pengajian di serata dunia termasuk Malaysia iaitu seramai 32,549 di UA. Ia adalah satu perkara yang biasa bagi negara berpopulasi seramai 1.4 bilion orang. China sememangnya menjadi sumber utama pelajar antarabangsa di peringkat global. Jumlah besar kemasukan pelajar dari China ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat (265,919 pelajar); Australia (189,000 pelajar); United Kingdom (149,000 pelajar) dan Kanada (100,000 pelajar) turut menerima pelajar dari negara itu.  

Faktor utama pelajar dari China dan lebih 180 buah negara lain yang memilih Malaysia adalah kerana kualiti sistem pendidikan tinggi serta universiti negara yang diiktiraf dunia. Selain kos pengajian dan sara hidup yang jauh lebih berpatutan, pelajar antarabangsa tertarik dengan negara Malaysia yang aman, masyarakatnya majmuk, serta penggunaan Bahasa Inggeris yang meluas dalam pembelajaran. Kehadiran pelajar antarabangsa ini jelas membuktikan sistem pendidikan tinggi Malaysia diyakini dan bertaraf antarabangsa. 

Pelajar Tempatan Tetap Menjadi Keutamaan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin menegaskan bahawa kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. Malaysia akan terus melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara strategik dan bertanggungjawab bagi memastikan institusi pendidikan tinggi negara kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, diiktiraf dunia serta menjadi destinasi pendidikan pilihan global, tanpa sesekali mengorbankan hak, peluang dan masa depan pelajar Malaysia

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
5 JULAI 2026

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media - Dasar Kemasukan Pelajar Antarabangsa Tidak Khianati Pelajar Tempatan, Perkukuh Daya Saing Universiti di Persada Global(225 KB)

 

  • Last updated on .
  • Hits: 1171
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 10 Julai 2026, 10:17:09.

logo-sirim