Siaran Media - 1.18 Juta Pelajar IPT Terima Inisiatif Baucar Buku MADANI 2026, Penebusan Bermula 15 Julai di Portal MySiswaPlace

logo kpt black

SIARAN MEDIA

1.18 JUTA PELAJAR IPT TERIMA INISIATIF BAUCAR BUKU MADANI 2026,
PENEBUSAN BERMULA 15 JULAI DI PORTAL MySiswaPlace


Seramai 1.18 juta orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) warganegara Malaysia bakal menerima Baucar Buku MADANI bernilai RM100 di bawah Inisiatif Baucar Buku MADANI Tahun 2026 yang diteruskan oleh Kerajaan MADANI bagi membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan serta memperluas akses kepada sumber ilmu berkualiti.

Justeru itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif yang memberi manfaat kepada pelajar di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara.

Pelajar yang memenuhi syarat kelayakan boleh mula menebus Baucar Buku MADANI bermula 15 Julai 2026 (Rabu), jam 11.00 pagi menerusi portal MySiswaPlace, platform digital sehenti kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS). Melalui portal ini, pelajar boleh membuat semakan kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat.

Bagi memastikan pelajar mempunyai akses kepada pilihan bahan bacaan yang menyeluruh, MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan. Platform ini menawarkan pelbagai kategori bahan bacaan termasuk buku akademik, buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku dan penerbitan umum yang menyokong pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan intelektual mahasiswa.

Penerusan Inisiatif Baucar Buku MADANI mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasakan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat. Selain membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan sepanjang tempoh pengajian, inisiatif ini turut merangsang pertumbuhan industri perbukuan negara, memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan dan menyokong kelestarian industri ilmu.

KPT yakin usaha ini akan terus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa, memperkukuh tradisi keilmuan di kampus serta melahirkan graduan yang berpengetahuan, berfikiran kritis, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Sehubungan itu, KPT menyeru semua pelajar yang layak agar menebus Baucar Buku MADANI dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan sebagai pelaburan terbaik dalam membina ilmu, kemahiran dan masa depan.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
14 JULAI 2026

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - 1.18 Juta Pelajar IPT Terima Inisiatif Baucar Buku MADANI 2026, Penebusan Bermula 15 Julai di Portal MySiswaPlace(112 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 350
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 14 Julai 2026, 11:02:17.

logo-sirim