190126RPTMBannerv2.png

Jurang dan Cabaran Utama


Paparan 10: Ringkasan isu dan cabaran dalam pendidikan tinggi Malaysia

Sumber: Kajian sekunder dan perbincangan kumpulan fokus

1. Kepimpinan Beretika dan Nilai Murni
  • Memperteguh pengukuhan nilai etika sebagai asas dalam membentuk pemimpin masa hadapan yang bertanggungjawab.
  • Meskipun kebimbangan terhadap integriti akademik dan kesan teknologi terhadap tingkah laku beretika semakin meningkat, terdapat peluang untuk memperkasa kepimpinan beretika melalui inisiatif dan pendidikan yang berfokus.
2. Daya Saing dan Jangkauan Global
  • Cabaran berterusan dalam memperkukuh kewarganegaraan global, termasuk halangan terhadap mobiliti antarabangsa, pemindahan kredit dan keterangkuman bagi pelajar antarabangsa.
  • Mengutamakan pendedahan global sebagai keperluan dalam membekalkan pelajar dengan kesiapsiagaan untuk dunia yang saling terhubung.
3. Kemahiran Siap Siaga Masa Hadapan dan Kebolehpasaran
  • Jurang semasa dalam kemahiran siap siaga masa hadapan dan latihan praktikal yang relevan dengan industri menyumbang kepada isu pengangguran dan ketidaksepadanan pekerjaan iaitu apabila graduan sama ada menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan atau ditempatkan dalam bidang kerja yang tidak memanfaatkan sepenuhnya kemahiran dan kelayakan mereka.
  • Penurunan enrolmen dalam bidang tertentu menambah cabaran dalam menyelaraskan hasil pendidikan dengan keperluan tenaga kerja yang kian berkembang. Bagi mengatasi isu ini, pendekatan pendidikan perlu diperhalusi bagi memastikan graduan dilengkapi untuk pekerjaan yang tepat dan bermakna.
4. Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman
  • Peluang yang terhad bagi Orang Asli, masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, Orang Kurang Upaya (OKU) serta kumpulan terpinggir terus menjadi cabaran utama dalam sistem pendidikan.
  • Dalam masa yang sama, halangan masih wujud bagi pelajar antarabangsa akibat isu keterangkuman dan bahasa. Menjamin kesaksamaan di semua peringkat sistem pendidikan adalah langkah penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih terangkum, berdaya saing dan mencerminkan kepelbagaian.
5. Kesihatan Mental dan Kesejahteraan
  • Keprihatinan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan semakin meningkat namun dikekang oleh kekurangan tenaga profesional, perkhidmatan yang terhad serta sistem sokongan yang belum mencukupi.
  • Baik pembelajar mahupun warga institusi berdepan cabaran seperti tekanan akademik, beban kerja dan ketidaktentuan hala tuju kerjaya yang boleh mengakibatkan tekanan emosi serta menjejaskan kesejahteraan dan perkembangan mereka secara menyeluruh.
6. Ekosistem Keusahawanan dan Inovasi
  • Ekosistem keusahawanan dalam pendidikan tinggi wajar diperluaskan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran keusahawanan yang pelbagai dan tidak terhad kepada usaha perniagaan konvensional.
  • Selain itu, pergantungan yang tinggi terhadap pembiayaan kerajaan memerlukan keseimbangan di samping keperluan untuk mekanisme pengukuran impak yang lebih berkesan. Memperkukuh ekosistem ini bagi memacu inovasi khususnya dalam industri berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) adalah langkah penting untuk pertumbuhan ekonomi.
7. Perpaduan, Jati Diri Nasional dan Kemampanan
  • IPT perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memupuk perpaduan dengan keperluan untuk kerjasama rentas kementerian bagi memastikan usaha ini lebih bersepadu dan berkesan.
  • Kurikulum harus lebih mencerminkan agenda kemampanan global dan kesihatan bumi serta menggalakkan pelajar menyumbang kepada perpaduan nasional sambil menangani isu kritikal seperti perubahan iklim, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.
8. Tadbir Urus dan Akauntabiliti
  • Struktur tadbir urus di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu diperkukuh khususnya dalam menangani isu seperti pelantikan berunsur politik dan kecekapan lembaga yang terhad.
  • Memantapkan akauntabiliti serta menambah baik amalan tadbir urus adalah penting bagi memastikan kepimpinan yang telus dan berkesan dalam sektor pendidikan.
9. Kemampanan Kewangan dan Kestabilan Institusi
  • IPT berdepan tekanan kewangan, dengan sebahagian institusi swasta terpaksa ditutup akibat model pendanaan yang tidak mampan, sekali gus memberi kesan kepada kualiti pendidikan, hasil penyelidikan dan daya tahan institusi secara keseluruhan.
  • Mewujudkan kerangka kewangan yang mampan amat penting bagi memastikan kestabilan jangka panjang IPT membolehkan mereka mengekalkan pendidikan berkualiti tinggi sambil menyesuaikan diri dengan keperluan yang sentiasa berubah.
10. Infrastruktur dan Aksesibiliti
  • Keterbatasan infrastruktur fizikal dan digital menghadkan akses kepada pendidikan terutamanya di kawasan luar bandar.
  • Pelaburan dalam infrastruktur dan infostruktur amat penting bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada pendidikan berkualiti.
11. Penyelidikan, Inovasi dan Impak kepada Masyarakat
  • Sistem pendidikan tinggi perlu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi yang bertanggungjawab serta berimpak. Hal ini termasuk memastikan aktiviti penyelidikan selari dengan keutamaan negara dan agenda kesihatan bumi sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar serta merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pengkomersialan.
  • Memperkukuh hubungan antara penyelidikan, inovasi dengan keperluan masyarakat akan mengukuhkan peranan IPT dalam menyumbang kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan global.
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 22 January 2026, 10:10:50.

sirim-logo