
|
Fokus Pendidikan Tinggi Baharu menggariskan lonjakan transformasi dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap keperluan masa hadapan dan cabaran global. Ini menandakan peralihan daripada pendidikan yang berstruktur dan pembelajaran formal kepada perungkaian pendidikan yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan merentas kehidupan serta menawarkan laluan fleksibel untuk pembelajar yang pelbagai. Fokus terhadap pencari pekerjaan yang bersedia untuk industri beralih kepada melahirkan pencari dan pencipta pekerjaan yang siap siaga masa kini dan masa hadapan sekali gus membekalkan graduan dengan kemahiran berciri keusahawanan dan inovatif. Begitu juga dengan perubahan daripada bakat berasaskan nilai dan berorientasikan output kepada bakat yang menghayati nilai serta berasaskan impak, berpaksikan etika dan matlamat yang lebih besar.
Rancangan ini juga beralih daripada proses pembuatan keputusan yang berasaskan prosedur kepada kepimpinan yang bersifat intrapreneurial, berdaya autonomi dan berpemikiran sistem bagi memacu inovasi serta kebolehsuaian. Sistem yang terpisah berubah menjadi ekosistem yang harmoni dan kolaboratif, memperkukuh perpaduan serta kecekapan antara institusi.
Tumpuan kepada kecekapan literasi teknologi diperkembangkan kepada TVET Termaju dan kompetensi berteraskan STEAM yang mengintegrasikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Sastera (merangkumi Seni, Kemanusiaan dan Budaya) dan Matematik. Pendekatan pendanaan dan sumber yang berpusat beralih kepada model pendanaan mampan yang dipacu oleh tadbir urus yang bertanggungjawab.
Selain itu, aspirasi untuk menjadi hab pendidikan serantau berkembang kepada matlamat lebih besar iaitu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Akhirnya, inisiatif berteraskan kemampanan diperkukuh menjadi kepimpinan dalam kemampanan dan kesihatan bumi dengan tanggungjawab alam sekitar menjadi teras kepada pendidikan tinggi. Transformasi menyeluruh ini menekankan inovasi, pembelajaran sepanjang hayat, kemampanan dan daya saing global bagi mempersiapkan sistem pendidikan tinggi Malaysia menghadapi dunia yang sentiasa berubah.
Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved