190126RPTMBannerv2.png

KEMAMPANAN KEWANGAN


Mengapakah ia penting ?

Kemampanan kewangan membolehkan IPT mengekalkan kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan dalam jangka panjang, memastikan mereka dapat terus berperanan sebagai penyumbang utama kepada kemajuan masyarakat dan ekonomi. Sistem pendidikan tinggi yang mampan dari segi kewangan menggalakkan kebergantungan kendiri, mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada kerajaan serta membolehkan institusi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendanaan.

Dengan kedudukan kewangan yang kukuh IPT dapat beroperasi dengan cekap, melabur dalam pembangunan infrastruktur dan inovasi serta kekal tangkas dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi pascanormal bagi memastikan kelangsungan dan perkembangan dalam persekitaran global yang tidak menentu. Kemampanan kewangan juga membolehkan IPT memperluaskan akses pendidikan tinggi melalui program bantuan kewangan dan inisiatif sokongan yang berkesan, memastikan pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

Apakah kejayaan yang ingin dicapai?

IPT awam dan swasta akan memanfaatkan sumber pendanaan yang pelbagai bagi meningkatkan kualiti program secara berterusan, di samping mengamalkan pengurusan sumber yang lebih inovatif dan cekap. Mereka akan memperkukuh tadbir urus kewangan dengan menekankan kebertanggungjawaban dan ketelusan bagi membina kepercayaan pihak berkepentingan. Model perniagaan yang lebih mantap akan digunakan bagi menambah baik inisiatif pinjaman pelajar, memastikan pembiayaan pendidikan lebih menyeluruh serta diagihkan secara saksama.

Bantuan bersasar akan menjadikan yuran pengajian lebih berpatutan dan mudah diakses terutamanya bagi pelajar daripada latar belakang sosioekonomi yang mencabar sekali gus menggalakkan keterangkuman. Selain itu, kerajaan akan terus melabur secara signifikan dalam pendidikan tinggi dengan memperuntukkan sebahagian besar daripada belanjawan negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan ketahanan dan kemajuan sistem pendidikan tinggi dalam jangka panjang.

Bagaimanakah kita akan mencapainya?

Bagi mencapai matlamat ini, kementerian akan melaksanakan pendekatan pelbagai dimensi untuk menyokong IPT dalam merealisasikan kemampanan kewangan. Antara inisiatif utama yang akan diperkenalkan termasuk:

  • Mengkaji sumber dan model pembiayaan pembangunan bagi menyokong pembinaan serta penaiktarafan infrastruktur IPT, memperkukuh kemampanan kewangan universiti tanpa meningkatkan beban kewangan kementerian, berasaskan tadbir urus mantap dan pengurusan dana profesional.
  • Transformasi model perniagaan PTPTN bagi menilai pendekatan pembiayaan yang berdaya maju bertujuan memperkukuh kemampanan kewangan melalui penambahbaikan sumber pendanaan, mekanisme pengagihan serta kecekapan bayaran balik. Pendekatan ini sekali gus meningkatkan fleksibiliti pembiayaan pendidikan tinggi.
  • Menggalakkan pengumpulan endowmen dan wakaf serta memohon komitmen pendanaan kerajaan jangka panjang. Kementerian akan menyediakan geran padanan dalam tempoh permulaan pengumpulan dana bagi menggalakkan IPT membina dana endowmen dan wakaf yang mampan. Di samping itu, kementerian akan memohon peruntukan tetap berasaskan belanjawan atau KDNK demi kemampanan kewangan pendidikan tinggi.

MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 22 January 2026, 10:10:50.

sirim-logo