
Mengapakah ia penting ?
Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) 8: Pekerjaan yang Saksama dan Pertumbuhan Ekonomi, bakat berprestasi tinggi dipacu matlamat memastikan tenaga kerja IPT yang kompeten, beriltizam, serta selari dengan nilai dan aspirasi pendidikan tinggi. Ini membolehkan kecemerlangan digabungkan dengan matlamat yang lebih besar, mewujudkan kepuasan kerja yang lebih tinggi, pematuhan kepada standard etika tertinggi serta ketahanan dalam menghadapi cabaran, sekali gus membolehkan IPT memberi impak positif kepada masyarakat di peringkat tempatan dan global. Bakat yang dipacu oleh matlamat merangkumi pelbagai peranan—termasuk tenaga akademik (pendidik, penyelidik, pengamal industri, pemimpin), pentadbir dan tenaga sokongan—akan menyatukan IPT dalam misi bersama ke arah kecemerlangan, ketahanan kolektif dan daya saing global. Tadbir urus dan pengurusan bakat yang holistik serta berasaskan bukti, bersama perancangan kepimpinan berstruktur, akan membantu membangunkan tenaga kerja IPT yang berprestasi tinggi, cekap dan tangkas dalam menghadapi cabaran yang sentiasa berubah dalam zaman pasca-normal.
Apakah kejayaan yang ingin dicapai?
Sebagai pemacu utama dalam ekosistem pendidikan tinggi Malaysia, bakat di IPT akan berkhidmat untuk matlamat kolektif “Satu Pendidikan Tinggi” dan membina semangat kekitaan yang lebih kukuh. Dengan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pembangunan profesional yang fleksibel dan berbeza, berasaskan kompetensi holistik, nilai yang dihayati dan hala tuju yang jelas, setiap individu akan diberi peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya. Tiada sesiapa akan ketinggalan.
Diterajui oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), pendemokrasian akses kepada kerangka pembangunan bakat yang ditambah baik serta peluang pembangunan profesional berterusan akan membolehkan semua IPT mewujudkan persekitaran kondusif yang menggalakkan staf berorientasikan misi yang mampu menerajui inovasi dan perungkaian sistem pendidikan tinggi.
Pengukuhan pengurusan bakat berasaskan bukti, peningkatan mobiliti tenaga kerja akademik dan perkongsian sumber antara IPT akan membantu mengurangkan jurang bakat nasional yang ketara serta memastikan keseimbangan pembangunan bakat merentas institusi.
Dalam menghadapi ketidaktentuan masa hadapan pasca-normal, penekanan terhadap keterangkuman, kepelbagaian, kesaksamaan, penghormatan bersama dan integriti akan memastikan bakat IPT berada dalam persekitaran yang menyokong kesejahteraan serta kepuasan kerja yang tinggi. Penghayatan Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat akan membawa impak nyata dalam penciptaan dan pemindahan ilmu di peringkat tempatan dan global, transformasi sosioekonomi, pembangunan mampan dan kesihatan bumi.
Bagaimanakah kita akan mencapainya?
KPT komited untuk membangunkan Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat dalam IPT, diperkasa melalui kerangka dinamik dan ekosistem yang menyokong. Dengan memperjuangkan pembelajaran sepanjang hayat dan merentas kehidupan, visi ini akan mempersiapkan pemimpin dan bakat IPT untuk cemerlang dalam landskap global yang sentiasa berubah. Misi ini berlandaskan tiga strategi teras, masing-masing didorong oleh inisiatif berimpak:
Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved