190126RPTMBannerv2.png

TADBIR URUS TANGKAS DAN BERDAYA TAHAN


Mengapakah ia penting ?

Memperkukuh tadbir urus IPT adalah penting dalam menangani cabaran yang timbul akibat perubahan politik dan pandemik COVID-19. Krisis ini mendedahkan kelemahan dalam struktur tadbir urus semasa sekali gus menekankan keperluan terhadap ketahanan, kebolehsuaian dan penjajaran dengan keperluan masyarakat. Kekerapan perubahan kepimpinan dalam kementerian telah mengganggu kesinambungan dasar dan kejelasan hala tuju, menyukarkan pelaksanaan rancangan strategik. Namun, perubahan ini juga membuka ruang kepada inovasi, perspektif baharu serta peluang untuk menyusun semula keutamaan dengan lebih berkesan.
Bagi memanfaatkan peluang ini, kerangka tadbir urus yang kukuh dan fleksibel amat diperlukan agar IPT dapat mengekalkan kestabilan dan menyesuaikan diri secara berkesan dengan tuntutan yang sentiasa berubah. Pada masa ini, kewujudan akta yang berasingan bagi IPT awam dan swasta mewujudkan jurang dalam tadbir urus
serta ketidakseragaman dalam aspek kesaksamaan. IPT awam terikat dengan kawal selia kerajaan yang lebih ketat, manakala IPT swasta lebih menumpukan kepada autonomi dan keperluan kewangan. Keadaan ini menyebabkan perbezaan dalam hak pelajar, ketidaksejajaran dalam pelaksanaan dasar serta hala tuju institusi yang tidak selari. Sebuah kerangka perundangan yang lebih seragam dapat menangani jurang ini, memastikan keadilan, memperkukuh kerjasama serta menyelaraskan hala tuju IPT dengan matlamat pendidikan tinggi negara.

Apakah kejayaan yang ingin dicapai?

Sistem tadbir urus yang lebih harmoni akan mengiktiraf kepelbagaian IPT, memberi ruang kepada IPT untuk beroperasi dengan lebih autonomi dan berdaya maju serta memperkukuh keupayaan mereka untuk memacu inovasi, menyesuaikan diri dengan perubahan dan berkembang sebagai institusi berprestasi tinggi. IPT akan diterajui oleh pemimpin transformasi yang diberi mandat untuk menyelaraskan objektif institusi dengan keutamaan negara. Kolaborasi yang lebih erat akan dibentuk antara IPT, komuniti, industri dan rakan antarabangsa. Kerangka tadbir urus terangkum atau inclusive governance framework (IGF) akan meningkatkan keterlibatan pihak berkepentingan, mengambil kira pelbagai jangkaan termasuk kesejahteraan pelajar dan staf serta mengintegrasikan pelbagai perspektif dalam merangka dasar yang adil dan penyelesaian yang lebih berkesan. Mekanisme akauntabiliti yang diperkukuh akan memastikan ketelusan dan kepercayaan sambil mengekalkan fleksibiliti untuk pertumbuhan mampan.

Bagaimanakah kita akan mencapainya?

Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian akan memberi tumpuan kepada:

  • Membangunkan Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) bagi menyatukan serta mengharmonikan perundangan berkaitan pendidikan tinggi yang sedia ada.
  • Menubuhkan Majlis Pendidikan Negara (MPN) bagi memastikan kesinambungan dan kesepaduan antara sektor pendidikan dan pendidikan tinggi.
  • Menstruktur semula tadbir urus dan organisasi IPT bagi menyokong pelaksanaan OHEA serta penubuhan MPN.
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 23 January 2026, 09:07:53.

sirim-logo