190126RPTMBannerv2.png

PEMBELAJARAN BERPAKSIKAN KEMANUSIAAN, BERCIRI KEUSAHAWANAN DAN ADAPTIF


Mengapakah ia penting ?

Negara memerlukan ahli masyarakat yang berkesan dan asasnya bermula dengan insan yang baik. Menjadi tanggungjawab utama institusi pendidikan tinggi untuk memastikan matlamat ini tercapai. Sebagai penyumbang utama dalam pembangunan bakat, institusi pendidikan tinggi diamanahkan untuk membentuk individu yang mempunyai kebolehsuaian, beretika dan berdaya tahan, agar mereka mampu menangani cabaran di peringkat nasional dan global dalam zaman pasca-normal.

Apakah kejayaan yang ingin dicapai?

Pembelajar akan memiliki kemahiran berpaksikan kemanusiaan, inovatif, berciri keusahawanan dan adaptif serta siap siaga masa hadapan untuk memacu pembelajaran sepanjang hayat dan merentas kehidupan. Mereka akan berpegang teguh kepada nilai etika dengan kekuatan spiritual dan ketahanan diri untuk terus berkembang dengan integriti dan matlamat yang jelas. Dilengkapi dengan kemahiran insaniah (soft), teknikal dan analitik (sharp) dan sosial dan kemanusiaan (smart). Pembelajar yang berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan dan adaptif ini akan memanfaatkan AI dan teknologi memuncul, pemikiran sistem serta pendekatan merentas disiplin bagi menangani cabaran dan menyelesaikan isu dunia sebenar, sekali gus memberi impak dan menjadi pemacu dalam pembinaan negara yang mampan serta pertumbuhan ekonomi. Pembelajar merupakan pemain global yang menghayati nilai-nilai murni untuk menyokong identiti dan perpaduan nasional.

Bagaimanakah kita akan mencapainya?

Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian dan IPT akan memberi tumpuan kepada pembangunan kurikulum yang lebih holistik dan bersepadu serta memperkukuh ekosistem pembangunan pembelajar. Antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk:

  • Memantapkan kurikulum bagi pembelajar yang berpaksikan kemanusiaan, beretika, terangkum dan siap siaga masa hadapan dengan menerapkan nilai, kepelbagaian, kesaksamaan, keterangkuman, etika, kemahiran penyelidikan dan penyelesaian masalah, pemikiran sistem, AI dan teknologi memuncul. Kurikulum ini akan memberi penekanan kepada pemerkasaan pelajar dan kecekapan antara budaya bagi menjadikan mereka pemacu perpaduan dan pembina negara masa hadapan yang siap siaga.
  • Mewujudkan kerangka pembelajaran yang inovatif, berciri keusahawanan dan mampan dengan menawarkan laluan pembelajaran yang diperibadikan, menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan merentas kehidupan melalui program modular, serta menggalakkan inovasi menerusi projek keusahawanan. Pembelajaran pengalaman akan diperkukuh, perkongsian mampan akan dibina dan ekosistem keusahawanan akan diperkasakan melalui bimbingan mentor serta akses kepada dana usaha niaga untuk syarikat pemula.
  • Memperkukuh infrastruktur pembelajaran dan sistem sokongan dipacu hasil dengan menerapkan reka rentuk sejagat bagi keterangkuman, menaik taraf infrastruktur digital untuk pembelajaran, menubuhkan sistem sokongan kesihatan mental, memastikan akses yang saksama kepada pembelajar yang terpinggir serta membangunkan dasar dan peraturan yang diperlukan.
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 23 January 2026, 09:07:53.

sirim-logo