YB Timbalan Menteri Sampaikan Inisiatif BAeK PTPTN Kepada 2 Pelajar di Melaka

15 Jun 2026 | Melaka
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim telah turun ke dua (2) buah lokasi bagi melihat sendiri pelaksanaan inisiatif Biasiswa Anak eKasih (BAeK) anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini siang tadi.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkasa keadilan sosial dalam pendidikan menerusi BAeK PTPTN, yang dijangka memanfaatkan 10,000 mahasiswa daripada golongan B40 termasuk daripada keluarga miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM210 juta.
Inisiatif BAeK PTPTN merupakan skim penukaran pinjaman pendidikan kepada biasiswa penuh bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar yang layak dapat meneruskan pengajian tanpa terbeban dengan kos pendidikan dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran.
Kerajaan pada mulanya memperuntukkan RM120 juta bagi 5,800 pelajar sebelum jumlah itu ditingkatkan kepada RM210 juta untuk memanfaatkan 10,000 pelajar di seluruh negara.
Sehingga Mei 2026, seramai 402 mahasiswa telah menerima manfaat BAeK PTPTN dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM8.79 juta.
Biasiswa ini menawarkan kadar pembiayaan sehingga RM4,750 setahun bagi peringkat Diploma, RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera dan RM6,650 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda Sains.
Penawaran biasiswa ini dilaksanakan secara automatik menerusi semakan data pemohon PTPTN dengan pangkalan data eKasih seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), tanpa memerlukan sebarang permohonan baharu daripada pelajar yang layak.
Sepanjang sesi lawatan itu, YB Tuan Adam Adli turut menyantuni dua penerima BAeK PTPTN, iaitu Muhammad Asymawi Mat Nor, pelajar Diploma, Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) di Politeknik Melaka, dan Alia Batrisyia Abu Samah, pelajar program Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) Matematik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.
KPT berharap inisiatif ini dapat memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah, dengan sesi lawatan tersebut turut disertai Pengarah PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman.
- Last updated on .
- Hits: 26
