KPT Perkukuh Akses Maklumat Pendidikan Tinggi Melalui Program Outreach Lepas SPM di Melaka

13 Jun 2026 | Melaka
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh akses maklumat pendidikan tinggi dan laluan TVET kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pelaksanaan Program Outreach Bersasar Projek Lepas SPM di Parlimen Hang Tuah Jaya, siang tadi.
Program yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik Melaka itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat dalam usaha memperluas capaian maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, YB Tuan Adam Adli Abd Halim berkata program berkenaan dilaksanakan bagi memastikan penyampaian maklumat pendidikan tinggi dapat diperluas secara terus kepada kumpulan sasar.
Menurut beliau, pendekatan turun padang dan interaktif penting bagi mengelakkan keciciran maklumat dalam kalangan pelajar, khususnya berkaitan laluan pendidikan tinggi dan TVET.
Sebanyak 20 buah reruai pameran dibuka melibatkan agensi di bawah KPT, Jabatan Pendidikan Tinggi serta IPT awam dan teknikal bagi memberi penerangan kepada pengunjung.
Program itu turut menampilkan pameran dan aktiviti berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk demonstrasi teknologi seperti “Robotic Dog” serta aktiviti inovasi pelajar.
Selain itu, pengunjung turut didedahkan dengan maklumat berkaitan sistem kemasukan ke institusi pendidikan tinggi termasuk UPUOnline®️ serta peluang pembiayaan pendidikan.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
Kolej Komuniti turut menyertai program dengan menawarkan perkhidmatan komuniti termasuk gunting rambut percuma kepada pengunjung sebagai sebahagian daripada pengisian khidmat masyarakat.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Mohd Najib Mohd Sarif; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Prof. Dr. Afandi Ahmad; Dekan Sekolah Pengajian Siswazah UTeM, Prof. Dr. Masrullizam Mat Ibrahim; serta Pengetua Sekolah Menengah Teknik Melaka, Ts. Dr. Romy Abd Kadir.
- Last updated on .
- Hits: 19
