KPT Perkukuh Kebajikan Mahasiswa Daripada Keluarga B40 Menerusi Biasiswa BAeK PTPTN

13 Jun 2026 | Kulai, Johor
Pemerkasaan kebajikan mahasiswa daripada keluarga B40, khususnya golongan miskin dan miskin tegar, terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati secara adil tanpa dibatasi kekangan kewangan.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan inisiatif Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) menerusi penukaran pinjaman pendidikan kepada biasiswa penuh.
Inisiatif berteraskan ihsan itu disasarkan memberi manfaat kepada 10,000 pelajar daripada keluarga B40, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang dikenal pasti melalui data eKasih, sebagai sebahagian daripada komitmen KPT memperkukuh agenda keterangkuman dan kebajikan mahasiswa di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata pendekatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada sistem pendidikan tinggi atas faktor kesempitan hidup.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sesi Penyerahan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) menerusi siri lawatan kebajikan turun padang ke kediaman pelajar di sini petang tadi.
Pada sesi berkenaan, serahan biasiswa telah disampaikan kepada Muhammad Amar Khoo Arif Khoo, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), serta Alin Nairien Wong Mohd Alif Wong, penuntut Diploma Pengurusan Acara di Politeknik Ibrahim Sultan, yang masing-masing mewakili aspirasi dan harapan baharu mahasiswa daripada keluarga B40 untuk mengubah masa depan melalui pendidikan.
Menurut beliau, BAeK PTPTN bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan instrumen perlindungan sosial yang mampu meningkatkan mobiliti sosial dalam kalangan mahasiswa daripada keluarga B40 yang memerlukan.
Berdasarkan mekanisme yang ditetapkan, setiap penerima yang layak akan menerima pembiayaan biasiswa secara berkala pada setiap semester bagi menampung yuran pengajian serta kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Pada masa yang sama, pelaksanaan inisiatif berkenaan dijangka dapat mengurangkan tekanan kewangan yang ditanggung keluarga B40 di samping menyuntik semangat kepada mahasiswa untuk terus menumpukan perhatian terhadap kecemerlangan akademik.
Selain itu, KPT turut memastikan proses penyaluran bantuan dilaksanakan secara cekap melalui kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu pelajar memenuhi keperluan awal kemasukan ke institusi pendidikan tinggi.
Sehingga 31 Mei 2026, PTPTN telah menyalurkan bantuan berjumlah RM8.79 juta kepada 402 orang mahasiswa di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda menerusi inisiatif BAeK PTPTN, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda kebajikan dan keterangkuman pendidikan tinggi negara.
Turut hadir Pengerusi PTPTN, Dato' Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; serta Ketua Pegawai Eksekutif YPS, Hirman Awang.
- Last updated on .
- Hits: 22
