PLKN 3.0 Bentuk Mahasiswa Holistik, Berintegriti dan Berjiwa Patriotik

PLKN 3.0 Bentuk Mahasiswa Holistik, Berintegriti dan Berjiwa Patriotik

16 Jun 2026 | Tanjong Malim, Perak

Pembentukan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki integriti tinggi, ketahanan diri dan semangat patriotisme yang utuh terus menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan generasi pelapis negara yang mampu mendepani cabaran masa depan.

Selaras dengan aspirasi tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Peringkat Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), siang tadi.

Menurut beliau, pendidikan tinggi pada masa kini tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri bagi melahirkan graduan yang holistik serta berdaya tahan.

Pelaksanaan PLKN 3.0 di Institusi Pendidikan Tinggi merupakan satu pendekatan strategik Kerajaan dalam memperkukuh pembangunan karakter mahasiswa melalui penggabungan elemen ketenteraan, kepimpinan dan kenegaraan secara bersepadu.

Program rintis ini melibatkan penyertaan seramai 1,005 mahasiswa baharu peringkat diploma UPSI yang akan menjadi kumpulan perintis sebelum pelaksanaannya diperluaskan ke universiti awam lain di seluruh negara.

Berbeza dengan pelaksanaan terdahulu, PLKN 3.0 menggunakan pendekatan yang kurang 'regimental' dengan penekanan terhadap kaedah pembelajaran berasaskan kembara dan keseronokan serta penyelesaian masalah bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada peserta.

Melalui modul yang dibangunkan, mahasiswa bukan sahaja didedahkan kepada aspek disiplin dan kepimpinan, malah dibimbing untuk meningkatkan ketahanan mental, kebolehsuaian serta keupayaan membuat keputusan secara rasional dalam situasi yang mencabar.

Program ini turut menjadi platform penting dalam memupuk semangat patriotisme, memperkukuh penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara serta menyemai rasa tanggungjawab mahasiswa terhadap keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Dalam masa yang sama, penyertaan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang menerusi PLKN 3.0 diyakini mampu memperkukuh perpaduan, meningkatkan kefahaman antara kaum serta menyuburkan nilai hormat-menghormati dalam kalangan generasi muda.

Kejayaan pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan KPT bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dalam membentuk mahasiswa yang holistik, berintegriti dan berjiwa patriotik sebagai aset strategik negara pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datin Rosdina Wahab; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Mejar Jeneral Dato' Marzuki Haji Mukhtar; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Naib Canselor UPSI, Dato' Prof. Dr. Md Amin Md Taff. 

  • Last updated on .
  • Hits: 152
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 22 Jun 2026, 03:08:47.

logo-sirim