YB Menteri Lancar 'Podcast KPT', Ungkap Peranan Kepelbagaian Dan Perkongsian Ilmu Pacu Perpaduan Nasional

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, budaya dan agama adalah kekuatan negara yang perlu diraikan, manakala peranan akademia dalam menyumbang ilmu kepada masyarakat menjadi kunci kepada pembangunan dan perpaduan nasional.
YB Menteri berkata, prinsip 'agree to agree and agree to disagree' turut wajar diamalkan bagi mengekalkan keharmonian, sekali gus memastikan rakyat dapat hidup bersama dalam suasana saling hormat-menghormati.
Tambahnya lagi, para pensyarah, profesor dan pakar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tidak boleh membataskan kepakaran mereka hanya di kampus, sebaliknya perlu turun padang membantu menyelesaikan isu sosioekonomi setempat agar manfaat pendidikan tinggi dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.
YB Menteri turut mengingatkan bahawa perpaduan negara tidak boleh dikompromi dan sambutan bulan kebangsaan harus dijadikan wadah memperkukuh hubungan rakyat tanpa mengira latar belakang, selain mengelakkan isu sensitif daripada dijadikan modal perpecahan.
Beliau bercakap demikian ketika membincangkan tajuk, 'Kementerian Pendidikan Tinggi Terajui Pemikir Negara' dalam siri sulung audio siar 'Podcast KPT' yang dihoskan oleh Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Hafizi Rosli.
'Podcast KPT' yang telah dilancarkan oleh YB Menteri petang tadi bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPT bagi Ogos 2025 merupakan medium baharu Kementerian untuk menyampaikan maklumat sahih, menjawab isu semasa dan mempromosikan pencapaian Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Terdahulu, para hadirin turut mengikuti diskusi bedah buku, 'RMK: Tujuan dan Pelaksanaannya' dalam program TELAAH yang dikendalikan oleh hos Sayed Munawar bersama tamunya, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia bagi menghuraikan peranan penting dasar pembangunan negara tersebut sebagai pemacu perpaduan nasional dan kesejahteraan masyarakat.
Pada majlis yang sama, YB Menteri telah turut melancarkan kempen sambutan bulan kemerdekaan peringkat Kementerian bagi memupuk semangat cintakan tanah air dan pertiwi dalam kalangan warga KPT.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Mohd Zahari Ismail; serta pegawai kanan KPT dan seluruh warga kementerian.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 595