i-COMPEX 2025 Raih Penyertaan 401 Projek Inovasi IPT Tempatan Dan Antarabangsa

i-COMPEX 2025 Raih Penyertaan 401 Projek Inovasi IPT Tempatan Dan Antarabangsa

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan bahawa teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) bukan ancaman kepada manusia, sebaliknya berperanan memperkasa daya penyelesaian masalah, memperluas batas kemampuan serta menangani cabaran dengan ketepatan dan kreativiti yang lebih tinggi.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan dan Pameran Inovasi dan Ciptaan Antarabangsa (International Innovation and Invention Competition Through Exhibition, i-CompEx 2025) kali ke-13 yang berlangsung selama dua (2) hari anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di sini.

Bertemakan 'Ke Arah Inovasi dan Ciptaan Didorong AI' (Towards AI-Driven Innovation and Invention), program ini menarik penyertaan 401 buah projek inovasi daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam dan luar negara, sekolah, agensi kerajaan serta sektor swasta.

Penganjuran kali ini turut disertai peserta antarabangsa dari Arab Saudi, China, United Kingdom, Thailand dan Indonesia sekali gus memperkayakan kepelbagaian idea dan kolaborasi global.

Penganjuran i-CompEx 2025 oleh POLIMAS dijayakan dengan kerjasama strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sebagai platform memupuk kreativiti dan memposisikan Malaysia sebagai hab serantau dalam bidang inovasi.

Selain pertandingan, pelbagai pengisian turut diadakan termasuk Seminar Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Intellectual Property Corporation of Malaysia, MyIPO), pameran Pusat Sains Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), demonstrasi helikopter kawalan jauh, dron, simulasi robotik, pameran Arkib Negara Malaysia (ANM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan UKM.

Dalam majlis tersebut, Malaysia Book of Records turut menyampaikan sijil “Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan Penciptaan Modul AI” (Largest Participation in an AI Module Invention Competition) kepada Pengarah Program i-CompEx 2025.

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut menyampaikan anugerah utama iaitu Anugerah Inovasi Platinum, Anugerah Khas Kecerdasan Buatan, Anugerah Khas Nilai Komersial, Anugerah Khas Harta Intelek, Anugerah Khas Inovasi Muda dan Anugerah Inovasi Terbaik mengikut Kategori A hingga I kepada para pemenang.

Beliau berharap projek dan prototaip yang dipamerkan tidak terhenti di peringkat pameran semata-mata, sebaliknya dikembangkan menjadi penyelidikan berimpak, produk pasaran serta penyelesaian praktikal demi kesejahteraan masyarakat, kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK, Dr. Hjh. Shahiza binti Dato' Hj. Ahmad Zainuddin (PPI); Pengarah POLIMAS, Hj. Rosli bin Idris; dan Pengarah Program i-CompEx 2025, Azimah Ismail. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2047
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 12 November 2025, 06:46:46.

logo-sirim