Universiti Perlu Jadi Hab Inovasi dan Pengkomersialan Penyelidikan

18 Mei 2026 | Serdang, Selangor
Universiti tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai pusat pengajaran dan penerbitan akademik semata-mata, sebaliknya mesti muncul sebagai hab utama penciptaan inovasi serta pengkomersialan hasil penyelidikan yang mampu memberi impak kepada ekonomi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelidikan yang dihasilkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta tidak terhenti di makmal, tetapi berjaya diterjemahkan kepada penyelesaian industri dan pasaran global.
Menurut beliau, selama lebih dua hingga tiga dekad, negara masih berdepan kekurangan data kukuh yang menunjukkan hasil penyelidikan universiti benar-benar berjaya dikomersialkan secara berdaya maju.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi perhatian khusus untuk mewujudkan pendekatan lebih inovatif dalam pembangunan universiti melalui pembinaan ekosistem baharu yang lebih menyokong agenda tersebut.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Membuka Akses kepada Modal: Meja Bulat Universiti dan Pemodal Teroka (Opening Access to Capital: Roundtable for Universities and Venture Capitalists) sempena persediaan Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (University Research and Innovation Investment Summit — URIIS) 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) pagi tadi.
Katanya, URIIS 2026 yang dijadualkan berlangsung pada September depan bakal menjadi platform pertama menghimpunkan semua universiti, industri serta syarikat modal teroka (venture capital) utama bagi merangka hala tuju pelaburan inovasi universiti secara lebih tersusun.
Tambah beliau, antara elemen penting yang perlu diberi perhatian ialah dasar kerajaan yang menyokong, peraturan yang tangkas, kerangka pengkomersialan, pemudahcaraan harta intelek, sistem inkubasi syarikat pemula serta mekanisme perancangan strategik yang jelas.
Beliau turut menegaskan keperluan menangani fenomena “lembah kematian” (valley of death), iaitu jurang kritikal apabila banyak idea bernilai tinggi gagal menembusi pasaran akibat kekurangan pembiayaan, rangkaian industri dan bimbingan strategik.
Selain itu, universiti juga perlu membentuk budaya baharu yang lebih berani menghadapi risiko, menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada proses inovasi serta berfikiran global dalam membangunkan syarikat pemula berasaskan penyelidikan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPM, Dato' Sri Jailani Johari; serta Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
- Last updated on .
- Hits: 22
