Sinergi KPT-DBP Perkukuh Peranan KSBM Demi Melahirkan Graduan Holistik

18 Mei 2026 | Putrajaya
Jalinan kolaborasi strategik merentas kementerian dan agensi menjadi kunci utama dalam melahirkan graduan holistik yang kompeten berbahasa tanpa mengorbankan jati diri serta akar budaya nasional.
Naratif kepentingan sinergi ini dizahirkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan semasa merasmikan Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Tahun 2026 di Dewan Za'ba, KPT pada 18 Mei 2026.
Menurut beliau, KPT sentiasa komited menyokong Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku rakan strategik utama bagi memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai medium penyampaian ilmu utama dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Melalui platform KSBM yang diiktiraf Jemaah Menteri pada 4 Mac 2026 ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat dalam aspek penyelidikan bersama, penambahbaikan kurikulum, serta penyediaan latihan kepakaran komunikasi berimpak tinggi.
Beliau menambah bahawa penguasaan bahasa asing amat digalakkan, namun pemeliharaan mutu penggunaan bahasa kebangsaan tetap menjadi keutamaan dalam membina kecemerlangan minda masyarakat.
Usaha bersepadu ini diyakini dapat melonjakkan fungsi Bahasa Melayu sebagai wadah pembinaan tamadun bangsa yang adaptif terhadap dinamika globalisasi semasa.
Sehubungan dengan itu, sesi wacana profesional telah digerakkan secara interaktif di bawah kendalian Nurul Julia Alani Henry dari DBP yang bertindak selaku moderator.
Wacana tersebut menampilkan gandingan Prof. Madya Dr. Karim Harun dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku Panel 1 dan Haji Khaidir Othman dari Lembaga Peperiksaan selaku Panel 2.
Perbincangan daripada kedua-dua tokoh tersebut berjaya mengupas potensi besar instrumen pengukuran standard ini dalam memperkukuh kemahiran penulisan ilmiah serta komunikasi rasmi mahasiswa.
Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.
- Last updated on .
- Hits: 14
