Temu Siswa, Program Dialog Terbuka Perkasa Mahasiswa Sebagai Rakan Strategik Pembangunan Negara

Temu Siswa, Program Dialog Terbuka Perkasa Mahasiswa Sebagai Rakan Strategik Pembangunan Negara

16 Mei 2026 | Sungai Petani, Kedah

Budaya dialog yang sihat dan keterbukaan dalam mendengar suara mahasiswa perlu terus diperkukuh sebagai asas melahirkan generasi pemimpin masa depan yang matang, kritis dan bertanggungjawab terhadap pembangunan negara.

Sehubungan itu, program Temu Siswa Zon Utara yang berlangsung di Dewan Perdana UiTM Cawangan Kedah pagi tadi menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abdul Halim berkata, dialog bukan sekadar ruang untuk bertanya dan menjawab, tetapi menjadi medium utama untuk memahami aspirasi sebenar mahasiswa dalam mencorakkan dasar pendidikan tinggi negara.

Menurut beliau, tanpa dialog yang berterusan, jurang antara pembuat dasar dan mahasiswa akan menjadi semakin besar, sekali gus menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar yang dirangka.

Beliau menegaskan bahawa program Temu Siswa diwujudkan khusus untuk memberi ruang kepada mahasiswa sebagai kelompok terbesar dalam universiti agar suara mereka menjadi keutamaan, bukan sekadar menjadi platform kementerian atau pemimpin semata-mata.

Katanya, mahasiswa perlu berani menyuarakan pandangan secara matang, mencetuskan idea baharu serta terlibat secara aktif dalam pembangunan negara kerana mereka bukan golongan yang hanya menunggu perubahan berlaku.

Dalam sesi dialog tersebut, pelbagai isu strategik dibangkitkan termasuk pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pengiktirafan kokurikulum sebagai kredit akademik, isu pengangkutan dalam kampus, kebolehpasaran graduan serta bantuan kos sara hidup mahasiswa.

Beliau turut menekankan bahawa universiti bukan sekadar tempat melahirkan pekerja seperti kilang, sebaliknya medan membentuk karakter, kepimpinan, integriti dan pemikiran kritis mahasiswa yang akan menjadi aset penting kepada negara.

YB Adam Adli turut mengingatkan mahasiswa agar memperkukuh budaya membaca, menjaga integriti akademik dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sehingga mengabaikan proses memperoleh ilmu secara jujur.

Program tersebut merupakan siri pertama Temu Siswa Zon Utara dan melibatkan penyertaan mahasiswa daripada UiTM Cawangan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta universiti lain di wilayah utara.

Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Kedah, Prof. Madya Dr. Mohd Mahadzir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kedah, Dr. Tunku Nashril Tunku Abaidah serta barisan kepimpinan mahasiswa dan pengurusan universiti. 

  • Last updated on .
  • Hits: 57
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 18 Mei 2026, 07:37:03.

logo-sirim