Telaah YB Menteri di PBAKL2026, Angkat Wacana Besar Ilmu, Adab dan Masa Depan Pendidikan Tinggi

7 Jun 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Sepanjang penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bukan sahaja menjadi pusat jualan naskhah ilmiah, malah berkembang sebagai ruang percambahan idea menerusi penganjuran bicarawara Republik Merah MAPIM dan program Telaah KPT yang menghimpunkan tokoh masyarakat, penyelidik, penulis serta ilmuwan.
Istimewanya, program Telaah KPT yang berlangsung semalam menyaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkongsi lima (5) karya pilihan yang membentuk perspektif beliau terhadap pendidikan, kepimpinan, hubungan antarabangsa dan pembangunan insan.
Dalam sesi tersebut, beliau memulakan kupasan dengan buku 'The Real World of College: What Higher Education Is and What It Can Be' karya Wendy Fischman dan Howard Gardner yang membincangkan perubahan landskap pendidikan tinggi yang semakin cenderung kepada pendekatan bersifat transaksional.
Beliau menegaskan bahawa universiti tidak boleh dilihat semata-mata sebagai institusi pengeluaran graduan, sebaliknya perlu kekal sebagai ruang pembentukan insan, pengembangan pemikiran kritis serta pembinaan nilai sosial dalam kalangan mahasiswa.
Menurut beliau lagi, cabaran pendidikan tinggi masa kini termasuk kecenderungan pelajar menilai kejayaan akademik hanya berdasarkan pencapaian gred dan kebolehpasaran semata-mata.
Seterusnya, beliau mengupas karya Risalah untuk Kaum Muslimin oleh Allahyarham Prof. Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menekankan hubungan antara ilmu, adab dan krisis pemikiran umat Islam moden.
Beliau menyifatkan karya tersebut sebagai antara tulisan penting yang mengangkat perbahasan tentang makna ilmu sebenar serta kepentingan adab dalam membentuk manusia yang berilmu dan berakhlak.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh buku 'How States Think: The Rationality of Foreign Policy' tulisan John J. Mearsheimer dan Sebastian Rosato yang mengupas bagaimana negara membuat keputusan berasaskan pertimbangan keselamatan, kuasa dan kelangsungan dalam sistem antarabangsa.
Beliau menjelaskan bahawa teori rasionaliti dalam hubungan antarabangsa perlu difahami secara kritikal kerana keputusan negara sering dipengaruhi oleh pertimbangan strategik yang kompleks serta risiko salah perkiraan dalam dasar luar.
Sementara itu, buku 'Empires of Ideas' oleh William C. Kirby turut dijadikan asas perbincangan mengenai perubahan pusat kecemerlangan ilmu dunia daripada Jerman kepada Amerika Syarikat dan seterusnya kepada China.
Beliau menekankan bahawa perkembangan tersebut menunjukkan persaingan global dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan yang semakin dipengaruhi oleh pelaburan, dasar negara dan ekosistem inovasi.
Dalam konteks itu, beliau turut mengaitkan kepentingan memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara agar tidak ketinggalan dalam persaingan global serta terus relevan dalam ekosistem ilmu antarabangsa.
Beliau juga membicarakan buku 'The Anxious Generation' karya Jonathan Haidt yang mengupas kesan penggunaan gajet secara berlebihan terhadap kesejahteraan emosi dan sosial generasi muda.
Menurut beliau, peralihan daripada budaya bermain secara fizikal kepada budaya berasaskan skrin telah memberi implikasi besar terhadap perkembangan sosial, kesihatan mental dan pembentukan karakter kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan pendidikan masa depan perlu menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan melalui pendekatan humanity centric yang sedang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Perkongsian lima (5) karya tersebut menurut beliau mencerminkan keperluan membina ekosistem pendidikan tinggi yang bukan sahaja berteraskan ilmu dan kemahiran, tetapi juga berasaskan adab, nilai, strategi dan kesejahteraan insan dalam menghadapi cabaran dunia moden.
- Last updated on .
- Hits: 176
