KPT Perkasa Budaya Pementoran Demi Kesinambungan Kepimpinan Organisasi

7 Jun 2026 | Melaka
Kesinambungan kepimpinan organisasi memerlukan usaha yang terancang dalam membimbing, membangunkan dan melahirkan pemimpin pelapis yang bersedia memikul amanah pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Program Pementoran Kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 dilaksanakan sebagai platform strategik untuk memperkukuh pembangunan bakat serta pewarisan kepimpinan dalam Kementerian.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hasim berkata, pemimpin yang berkesan bukan sekadar mengurus organisasi pada masa kini, malah bertanggungjawab melahirkan lebih ramai pemimpin bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan institusi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Pementoran Kepimpinan KPT 2026 yang menghimpunkan mentor dan mentee daripada pelbagai Bahagian di KPT di sini semalam.
Menurut beliau, hubungan mentor-mentee perlu menjadi ruang pemindahan ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan kepimpinan yang dapat membentuk keyakinan serta keupayaan pegawai untuk memimpin pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemimpin tidak seharusnya berasa terancam dengan potensi yang ditunjukkan oleh pegawai di bawah seliaan mereka, sebaliknya perlu membantu menyerlahkan bakat dan membuka peluang kepada generasi pelapis untuk berkembang.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendedahan kepada projek, tugasan strategik dan pengalaman merentas fungsi merupakan antara pendekatan penting dalam membentuk pegawai yang lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan komunikasi yang berkesan, budaya saling menghormati serta semangat kerja berpasukan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan menyokong pembangunan kepimpinan.
Pada masa yang sama, beliau menyeru agar warga KPT sentiasa mengutamakan integriti, berfikiran terbuka terhadap idea baharu dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang mampu membawa manfaat kepada organisasi serta rakyat.
Program tersebut turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada mentor dan mentee yang terlibat, sekali gus memperkukuh komitmen KPT dalam memastikan agenda pembangunan kepimpinan dilaksanakan secara berterusan dan sistematik.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Encik Ahmad Rizal Adnan; serta pegawai-pegawai kanan dan peserta Program Pementoran Kepimpinan KPT 2026.
- Last updated on .
- Hits: 134
