Pelancaran GTPC; Jambatan Menghubungkan Bakat TVET dan Industri

Pelancaran GTPC; Jambatan Menghubungkan Bakat TVET dan Industri

6 Jun 2026 | Putrajaya

“TVET tidak lagi sekadar ruang latihan, malah ia kini merupakan laluan kepada pekerjaan, peningkatan pendapatan, mobiliti sosial, dan maruah masa depan generasi muda Malaysia.”

Itu ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika majlis pelancaran GITC TVET Placement Centre (GTPC) bersempena dengan Sambutan Hari TVET Negara 2026 hari ini.

Jelas beliau, persepsi masyarakat terhadap laluan kemahiran kini jelas berubah apabila banyak pencapaian telah dilakar termasuk Enrolmen pelajar TVET negara mencatatkan peningkatan luar biasa daripada hampir 350,000 (tahun 2020) kepada lebih 450,000 pelajar pada tahun lalu.

Menurut beliau, hampir 57 peratus lepasan SPM dan setara pada tahun 2025 telah memilih laluan TVET. Kejayaan turut dilakar apabila kadar kebolehpasaran graduan TVET kini melangkaui sasaran dengan pencapaian 95.9 peratus.

Menyusuli pelancaran TVET 2.0 oleh YAB Perdana Menteri pagi tadi, ekosistem TVET kini berevolusi untuk menjadi lebih responsif, fleksibel, dipacu data, dan berorientasikan hasil (outcome-oriented).

Fokus latihan juga digerakkan ke arah industri bernilai dan berpertumbuhan tinggi (high-growth, high-value) seperti semikonduktor, aeroangkasa, Kecerdasan Buatan (AI), teknologi hijau, tenaga boleh baharu, dan Kenderaan Elektrik (EV).

Bagi memastikan penawaran bakat yang besar dipadankan dengan permintaan industri secara tepat, penubuhan GTPC memainkan peranan sebagai instrumen serampang dua mata.

GTPC bertindak sebagai jambatan nasional yang menyelaras proses penempatan bagi latihan industri, pembelajaran berasaskan pekerjaan (work-based learning), perantisan, pekerjaan, dan pemadanan bakat.

Platform ini turut menjadi instrumen penting bagi negara untuk membaca keperluan pasaran sebenar, mengenal pasti sektor yang mendahagakan bakat, dan menilai kemahiran yang paling bernilai buat masa ini.

Turut bersama dalam majlis pelancaran adalah Pengerusi GITC, Tan Sri Dato' Dr. Soh Thian Lai; Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 85
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 15 Jun 2026, 10:03:49.

logo-sirim