Sekalung Penghargaan Dan Terima Kasih Datuk Mohamad Azhan Atas Khidmat Bakti Sebagai TKSU Pengurusan & Pembangunan KPT

Sekalung Penghargaan Dan Terima Kasih Datuk Mohamad Azhan Atas Khidmat Bakti Sebagai TKSU Pengurusan & Pembangunan KPT

“Untuk anak-anak kita. Teruskan kerja, komitmen yang baik untuk kebaikan mereka. Apa yang kita lakukan hari ini akan menjadi bekalan untuk masa depan negara.”

Titip Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Azhan Md Amir sebelum mengetik perakam waktu (clock-out) buat kali terakhir di KPT petang tadi, menandakan langkah baharu beliau ke Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) bermula besok.

Sepanjang 1 tahun 9 bulan berkhidmat di KPT, beliau telah memimpin sektor pengurusan dan pembangunan dengan penuh dedikasi, memastikan pengurusan infrastruktur dan penyediaan peruntukan berjalan lancar untuk menyokong pelaksanaan agenda pendidikan tinggi negara.

Dalam ucapan ringkasnya tadi, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri, Timbalan Menteri, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga Kementerian atas sokongan dan kerjasama sepanjang perkhidmatannya.

Beliau sempat mengimbau perjalanan bersama KPT yang sarat dengan cabaran dan pengalaman bermakna, sambil menegaskan bahawa kejayaan Kementerian adalah hasil usaha kolektif seluruh warga.

Pada masa yang sama, beliau turut menitipkan pesan agar warga KPT terus berkhidmat dengan keikhlasan kerana setiap usaha hari ini adalah untuk membina masa depan generasi akan datang.

“Saya doakan semua warga KPT terus komited melaksanakan tanggungjawab untuk kebaikan negara,” katanya sambil memohon maaf atas sebarang kekhilafan sepanjang perkhidmatannya di Kementerian ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan dan Agensi.

YBhg. Datuk Mohamad Azhan mengakhiri ucapannya dengan harapan agar hubungan silaturahim bersama warga KPT terus kekal mesra walaupun beliau kini menggalas amanah di Kementerian baharu.

Sehingga berjumpa lagi dan selamat maju jaya, YBhg. Datuk Mohamad Azhan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 591
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim