Dekad Membaca Kebangsaan Terus Semarakkan Budaya Ilmu Di KPT

Dekad Membaca Kebangsaan Terus Semarakkan Budaya Ilmu Di KPT

Majlis Perasmian Penutupan Program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2025 berlangsung ruang legar Menara KPT pagi tadi.

Program anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini bertujuan mengimarahkan budaya membaca dalam kalangan warga KPT selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030.

Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa budaya membaca adalah asas kepada pembinaan tamadun ilmu kerana setiap halaman yang dibaca membuka jendela baharu kepada pemikiran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan pelaksanaan DMK, termasuk warga Kementerian serta pelajar Politeknik Banting dan Politeknik Nilai yang hadir menyertai pelbagai pengisian program.

Antara pengisian utama ialah Bicara Ilmu bertajuk Membaca Memerdekakan Minda menampilkan Dr. Syamsul Hirdi Muhid dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan penulis buku Asha Rashid, selain reruai Bacaan Pantas oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam, serta jualan buku oleh DBP.

Majlis turut diserikan dengan upacara penyerahan Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 oleh Pengarah Kanan (Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Merdeka, Jabatan Penerangan Malaysia, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin, kepada YBhg. Ketua Setiausaha KPT, sebagai simbol sokongan Kementerian terhadap semangat kecintaan kepada negara.

Program ini mencerminkan komitmen KPT dalam menyokong pembinaan masyarakat berpengetahuan luas dan berfikiran kritis, selaras dengan misi sektor pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, Puan Aninah Anak Janang, mewakili Ketua Pengarah DBP, serta warga KPT yang lain.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan pengumuman penutupan rasmi Program DMK Peringkat KPT Tahun 2025 oleh YBhg. Datuk Dr. Anesee yang mengharapkan agar budaya membaca terus subur di hati setiap warga Kementerian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 693
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim