Siri Ke-9 Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah Melabuhkan Tirai Di Tenom

Siri terakhir Jelajah Pendidikan Tinggi ke-9 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Tenom berlangsung meriah dengan ketibaan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang disambut dengan persembahan tarian singa sebagai tanda meraikan tetamu kehormat.
Program penutup itu turut diserikan dengan paluan gong oleh YB Timbalan Menteri sebagai simbolik perasmian penutupan, melambangkan keberhasilan jelajah yang telah menjelajah ke sembilan lokasi seluruh Sabah.
Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan bahawa pendidikan tinggi dan latihan kemahiran teknikal (TVET) adalah kunci utama pembangunan masa depan generasi muda, sekali gus memastikan Sabah mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri.
Beliau turut menyeru agar masyarakat, khususnya golongan belia di kawasan pedalaman, mengambil peluang yang disediakan KPT melalui universiti awam, Politeknik, Kolej Komuniti serta pelbagai inisiatif TVET yang ditawarkan.
Program Jelajah Pendidikan Tinggi KPT yang bermula sejak awal Julai lalu telah menjadi platform penting bagi menyantuni komuniti, menyampaikan maklumat pendidikan tinggi selain menekankan aspek pemindahan ilmu secara praktikal.
Tenom menjadi lokasi penutup yang penuh bermakna, menandakan komitmen berterusan KPT dalam memperkasakan akses pendidikan tinggi dan peluang TVET di seluruh pelosok negeri, selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya dan Malaysia MADANI.
Terdahulu, siri ke-8 Jelajah Pendidikan Tinggi KPT berlangsung di perkarangan Masjid Imam Haji Hashim, Sipitang yang turut dihadiri penduduk setempat serta Pelajar Maahad Tahfiz Darul Furqan.
Program berkenaan mendapat sambutan hangat apabila masyarakat Sipitang memanfaatkan peluang mendapatkan maklumat mengenai akses pendidikan tinggi dan pebelajaran sepanjang hayat kepada komuniti melalui pelbagai kursus dan aktiviti.
YB Timbalan Menteri dalam ucapannya di Sipitang menekankan pentingnya pendidikan sebagai wahana perubahan sosial dan menyeru agar ibu bapa terus memberi sokongan kepada anak-anak dalam meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pelaksanaan siri ke-8 itu sekali gus melengkapkan rangkaian jelajah di bahagian selatan Sabah sebelum siri penutup di Tenom, mencerminkan usaha berterusan KPT untuk mendekatkan peluang pendidikan kepada komuniti bandar dan luar bandar secara inklusif.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 527