KPT Perkasa Jelajah Pendidikan Tinggi: Berkongsi Ilmu, Menyantuni Komuniti

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan bahawa pendidikan merupakan kunci utama dalam merubah masa depan masyarakat, khususnya di Sabah.
Sehubungan itu, Program Jelajah Pendidikan Tinggi untuk Komuniti Sabah yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi platform penting bagi menyampaikan maklumat, berkongsi ilmu serta menyantuni komuniti setempat.
Menurut beliau, siri jelajah yang sedang berlangsung di pelbagai daerah di Sabah merupakan pendekatan baharu KPT dalam merapatkan jurang maklumat pendidikan tinggi. “Selama ini, akses kepada maklumat pendidikan agak terhad di Sabah. Justeru, kita turun ke lapangan membawa universiti, Politeknik dan Kolej Komuniti terus kepada masyarakat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama stesen radio SABAHfm.
Tambah beliau, siri jelajah ini bukan sahaja memperkenalkan institusi pendidikan tinggi, malah turut menekankan aspek pemindahan ilmu (transfer of knowledge) secara praktikal. Antara inisiatif tersebut termasuklah demonstrasi penanaman cendawan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), latihan teknologi fertigasi serta kursus kemahiran pendek oleh Politeknik dan Kolej Komuniti. Melalui pendekatan ini, komuniti bukan sahaja mendapat pengetahuan baharu, malah mampu menjana pendapatan seperti menghasilkan mi kuning, keropok lekor dan produk makanan lain dengan kos minimum tetapi berdaya niaga.
Program Jelajah Pendidikan Tinggi turut memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah dan menengah tentang bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Antara aktiviti menarik termasuk pembinaan robot mini serta bot solar, yang diyakini mampu merangsang minat pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi.
Selain itu, bersempena bulan kemerdekaan, program juga diselitkan dengan semangat kemerdekaan. Tokoh-tokoh perjuangan negara diperkenalkan mengikut lokasi jelajah bagi memastikan masyarakat, khususnya golongan muda, mengenali dan menghargai jasa mereka. Unsur ini menjadi antara pengisian utama sepanjang program.
Dalam sesi temubualnya, YB Datuk Ts. Mustapha turut menekankan bahawa memasuki universiti atau institusi TVET bukanlah sesuatu yang sukar. Proses permohonan melalui UPUOnline telah menyediakan maklumat lengkap mengenai kursus yang ditawarkan, prospek kerjaya serta kemudahan kewangan seperti wang pendahuluan pinjaman PTPTN berjumlah RM1,500.
“Ramai ibu bapa dan pelajar masih kurang maklumat. Hakikatnya, universiti awam dan institusi TVET menawarkan laluan pendidikan yang luas, malah TVET kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan utama yang mampu menjamin pekerjaan dan kesinambungan akademik hingga ke peringkat PhD,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi dibesarkan dalam keluarga petani yang serba kekurangan, namun berjaya mengubah kehidupan melalui pendidikan. “Saya sendiri pernah hidup susah, tetapi dengan pendidikan, segalanya berubah. Sebab itu saya mahu anak-anak Sabah menjadikan pendidikan sebagai jalan keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujarnya.
Usai temubual bersama stesen radio SABAHfm, YB Timbalan Menteri yang diiringi oleh Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali turut meluangkan masa menghadiri sesi temu bual bersama media bagi memberikan ruang untuk memperincikan manfaat Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan hasrat KPT dalam menyantuni komuniti.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 697