Putrajaya FOI 2026: Transformasi Pendidikan Tinggi Perlu Seimbangkan AI, Nilai Kemanusiaan

19 November 2026 | Putrajaya
Transformasi pendidikan tinggi negara perlu mengimbangi kemajuan kecerdasan buatan (AI), pembangunan nilai kemanusiaan dan keperluan pasaran kerja bagi memastikan sistem pendidikan kekal relevan dalam mendepani perubahan generasi akan datang, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata perkara itu menjadi antara hala tuju utama Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dirangka untuk menyusun semula sistem pendidikan tinggi negara melalui pendekatan lebih fleksibel, inklusif dan responsif terhadap perubahan teknologi serta keperluan masyarakat.
Menurutnya, transformasi berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penguasaan teknologi dan kecerdasan buatan, malah perlu disertai pembentukan nilai moral, pemikiran kritis dan keupayaan mahasiswa menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.
Beliau berkata sistem pendidikan tinggi juga perlu disesuaikan dengan keperluan industri menerusi pengembangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program peningkatan kemahiran semula (reskilling) serta kelayakan mikro (micro-credentials) bagi menangani ketidakpadanan pekerjaan dan isu guna tenaga tidak penuh dalam kalangan graduan.
Mengulas pencapaian kebolehpasaran graduan, beliau berkata universiti awam merekodkan kadar kebolehpasaran sebanyak 94.7 peratus pada 2025, manakala politeknik dan kolej komuniti masing-masing mencatatkan sekitar 98.5 dan 98.8 peratus.
Bagaimanapun, katanya, pencapaian itu tidak harus menyebabkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berpuas hati kerana perhatian turut perlu diberikan kepada kesesuaian bidang pengajian, penguasaan kemahiran khusus dan keupayaan graduan memenuhi tuntutan sebenar pekerjaan.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Sidang Idea Malaysia 7 bertajuk “Education: From National Idea to National Action” sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 yang menghimpunkan pemimpin pendidikan dan wakil kerajaan dari enam (6) negara bagi membincangkan hala tuju pendidikan tinggi serta usaha menterjemahkan aspirasi nasional kepada tindakan yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
Dalam aspek kerjasama serantau, beliau turut mengetengahkan inisiatif ASEAN Global Exchange for Mobility Scholarships (ASEAN GEMs) yang menggabungkan sumber kewangan negara anggota bagi menyediakan peluang biasiswa dan mobiliti pelajar merentas universiti di rantau ASEAN, selain menggalakkan kerjasama penyelidikan dan pertukaran akademik.
Perbincangan forum itu turut mengetengahkan pengalaman Filipina, Timor-Leste, Kazakhstan, Indonesia dan Türkiye dalam menyelaraskan pendidikan dengan keperluan pembangunan negara, termasuk penyelidikan berasaskan cabaran masyarakat, hubungan universiti-industri serta peluasan peluang pembelajaran rentas sempadan.
Sidang Idea Malaysia 7 itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin sebagai moderator sesi pertama dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran bagi sesi kedua.
Barisan ahli panel terdiri daripada Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina (CHED), TYT Dr. Shirley Castaneda Agrupis; Menteri Perancangan dan Pelaburan Strategik Timor-Leste, TYT Eng. Gastao Francisco De Sousa; Ketua Pakar Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Sains dan Pendidikan Tinggi Kazakhstan, Yerkegali Tlekkali; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, TYT Prof. Dr. Fauzan; serta Ahli Lembaga Eksekutif Majlis Pendidikan Tinggi Türkiye (YÖK), Prof. Dr. Hayrunnisa Bolay Belen.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”
- Last updated on .
- Hits: 206
