Putrajaya FOI 2026 Labuh Tirai, 10 Agenda Idea Malaysia Dibawa ke Jemaah Menteri

19 November 2026 | Putrajaya
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI 2026) melabuhkan tirainya hari ini selepas tiga hari menghimpunkan pemikir, ahli akademik, penyelidik, mahasiswa dan pemain industri menerusi tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”.
Sebanyak 10 agenda utama yang dirumuskan daripada pelbagai gagasan dan pandangan sepanjang festival itu dihimpunkan menerusi Risalah Idea Malaysia 2026 untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan dan tindakan selanjutnya.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata kekuatan sesebuah negara pada masa hadapan bukan hanya bergantung pada pencapaian ekonomi, sebaliknya turut ditentukan oleh keupayaan rakyatnya membina budaya ilmu dan menguasai kekuatan pemikiran.
Beliau berkata Putrajaya FOI perlu menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat yang meraikan ilmu, mencabar pemikiran sedia ada serta memberikan ruang kepada idea baharu untuk berkembang dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Menurutnya, generasi muda khususnya mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mempunyai peranan penting dalam membentuk wajah Malaysia menjelang tahun 2057, sekali gus perlu membina keyakinan terhadap kemampuan dan kepakaran sendiri untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pendidikan tinggi negara turut terserlah apabila lebih 160,000 orang pelajar dari 180 buah negara kini mengikuti pengajian di Malaysia, mencerminkan penerimaan terhadap mutu sistem pendidikan tinggi negara.
Sepanjang tiga (3) hari penganjuran, Putrajaya FOI 2026 menampilkan pelbagai pengisian merangkumi Sidang Idea Malaysia, R&D Experience yang mengetengahkan kecerdasan buatan (AI), robotik, automotif dan dron, selain World of Tunnel, Wall of Ideas, Mini Jom Masuk U serta Karnival Kerjaya.
Menerusi Wall of Ideas, sebanyak 654 buah idea diterima dengan keseluruhan 1,477,311 undian direkodkan, manakala idea yang mendapat undian tertinggi memperoleh 308,483 undian.
Beliau turut berharap Putrajaya FOI dapat diteruskan sebagai program tahunan bagi menyediakan ruang kepada masyarakat, khususnya golongan akademia dan mahasiswa, untuk menyumbangkan pemikiran serta gagasan dalam membentuk masa depan negara.
Majlis penutup di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu turut menyaksikan gimik penyerahan Risalah Idea Malaysia 2026 serta persembahan kumpulan Satu Jiwa Seribu Warna dari Universiti Putra Malaysia (UPM), yang memenangi kategori Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Sinematografi Terbaik dalam pertandingan Citra Muzikal MADANI.
Putrajaya FOI 2026 merakamkan jutaan penghargaan kepada semua delegasi, peserta, warga IPT, rakan kerjasama dan jawatankuasa pelaksana yang menjayakan festival itu, dengan semangat kebersamaan yang terjalin sepanjang penganjuran diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak gagasan bernas dan pertemuan bermakna pada tahun hadapan.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”
- Last updated on .
- Hits: 100
