Putrajaya FOI 2026: DICE Jadi Penanda Aras Pembangunan Usahawan Kreatif Mahasiswa

Putrajaya FOI 2026: DICE Jadi Penanda Aras Pembangunan Usahawan Kreatif Mahasiswa

19 November 2026 | Putrajaya

Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 mengetengahkan peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam melahirkan usahawan kreatif berasaskan teknologi menerusi program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 yang menghubungkan bakat mahasiswa dengan kepakaran industri.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj Aminuddin Hassim berkata, DICE wajar dijadikan penanda aras kepada pelaksanaan program keusahawanan lain di IPT kerana pendekatannya menghubungkan pembangunan projek mahasiswa dengan bimbingan industri serta menghasilkan produk yang boleh dinilai.

Menurut beliau, keberkesanan penggunaan dana keusahawanan KPT perlu dinilai berdasarkan kerelevanan pengisian program, penglibatan pakar industri dan impaknya terhadap pembangunan mahasiswa, bukan sekadar pelaksanaan aktiviti.

Beliau berkata, gabungan kandungan kreatif dengan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam DICE membuka ruang kepada mahasiswa menghasilkan animasi, visual, pengalaman interaktif serta reka bentuk melalui proses penciptaan yang lebih cekap tanpa mengetepikan daya cipta sendiri.

Pendekatan itu turut menyokong perkembangan ekonomi jingga (orange economy) dengan menyediakan laluan kepada mahasiswa berbakat dalam bidang kreatif untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai kepada pengguna serta potensi pasaran.

Dalam konteks Putrajaya FOI 2026 bertemakan “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”, DICE memperlihatkan bagaimana idea dan kemahiran teknologi mahasiswa dapat diterjemahkan kepada hasil inovasi yang boleh diketengahkan kepada industri serta masyarakat.

Sepanjang empat (4) edisi penganjurannya, DICE telah melahirkan 226 syarikat pemula mahasiswa, manakala edisi keempat menghimpunkan 350 peserta dalam 70 kumpulan dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Nigeria, sekali gus memperluas pendedahan mahasiswa kepada ekosistem keusahawanan antarabangsa.

YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin berkata, penglibatan institusi dari pelbagai negara turut memberi peluang kepada mahasiswa mempelajari pendekatan berbeza dalam penghasilan kandungan kreatif, selain membina hubungan dan kerjasama yang melangkaui persekitaran kampus masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini, yang merupakan antara pengisian Putrajaya FOI 2026 anjuran KPT dari 17 hingga 19 November.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dato’ Prof. Dr. Fadzli Adam; serta Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Ahmad Zairy Mohd Soieb.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para peserta berdasarkan lima (5) kategori Anugerah Khas DICE 4.0 atas pencapaian dan hasil kreativiti masing-masing.

“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”

  • Last updated on .
  • Hits: 126
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 20 November 2026, 07:26:54.

logo-sirim