Putrajaya FOI 2026: KPT, Elsevier Angkat Integriti Penyelidikan Dalam Era AI

Putrajaya FOI 2026: KPT, Elsevier Angkat Integriti Penyelidikan Dalam Era AI

17 November 2026 | Putrajaya

Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 terus mengangkat perbincangan mengenai masa depan pendidikan tinggi negara menerusi forum yang menekankan kepentingan integriti penyelidikan dan tadbir urus penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan ilmu yang berwibawa.

Menerusi forum Leading Research Integrity in the Age of AI: An Academic Leaders’ Roundtable, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengingatkan bahawa Malaysia berdepan cabaran serius dalam integriti penerbitan akademik apabila negara berada di kedudukan keenam dunia dari segi kadar penarikan balik kertas penyelidikan, dengan 17.2 penarikan balik bagi setiap 10,000 kertas, iaitu tiga kali ganda purata global.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim pada forum yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini petang tadi.

Menurut beliau, perkembangan AI menuntut universiti mengamalkan tadbir urus yang lebih tersusun melalui dasar penggunaan teknologi yang jelas, pendedahan penggunaan AI, latihan, pengesahan hasil penyelidikan serta pengawasan manusia bagi mengelakkan salah laku akademik dan memastikan kepercayaan terhadap ilmu terus terpelihara.

Sehubungan itu, KPT akan memberikan perhatian kepada penambahbaikan kerangka etika pendidikan tinggi dan garis panduan etika akademik, termasuk pelaksanaan latihan serta pematuhan berasaskan Malaysian Code of Responsible Conduct in Research (MCRCR) sebagai piawaian kepada penyelidik negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kecemerlangan penyelidikan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah penerbitan dan sitasi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira ketelusan metodologi, kebolehpercayaan dapatan serta sumbangannya dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat, industri dan negara.

Dalam hubungan itu, pemeliharaan integriti penyelidikan turut menuntut perhatian terhadap amalan plagiarisme, manipulasi data, pemalsuan hasil kajian dan penerbitan dalam jurnal yang meragukan, selain pembudayaan dasar, latihan, kesedaran dan pemantauan di peringkat institusi.

Forum anjuran KPT dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Elsevier itu turut menampilkan Ketua Pegawai Akademik Elsevier, Dr. Nick Fowler serta Ketua Saringan Integriti Penyelidikan, Pusat Kepakaran Integriti Penyelidikan dan Etika Penerbitan Elsevier, Elavenhil Pallipatti Mohan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Profesor Ir. Ts. Dr. Shuhairy Norhisham yang mewakili Naib Canselor UniMAP serta pemimpin akademik, penyelidik dan ketua pustakawan.

Perbincangan tersebut merupakan antara pengisian Putrajaya FOI 2026 yang menghimpunkan pemimpin akademik bagi menyumbang pandangan terhadap hala tuju penyelidikan negara, termasuk usaha meningkatkan keterlihatan penerbitan, memperluas kerjasama penyelidikan dan memperkukuh ekosistem penyelidikan selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”

  • Last updated on .
  • Hits: 102
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 18 November 2026, 09:29:19.

logo-sirim