Putrajaya FOI 2026: Wacana Ilmu, Inovasi dan Perkhidmatan Rakyat Warnai Hari Pertama

Putrajaya FOI 2026: Wacana Ilmu, Inovasi dan Perkhidmatan Rakyat Warnai Hari Pertama

17 November 2026 | Putrajaya

Pelbagai wacana kepimpinan, penyelidikan, inovasi teknologi serta pengisian berorientasikan masyarakat mewarnai hari pertama Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini menerusi tema EXPLORE – Meneroka Idea.

Festival yang menghimpunkan pemimpin negara, tokoh akademik, penggubal dasar, pemain industri dan masyarakat umum itu dimulakan dengan Majlis Peluncuran oleh YAB Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Antara pengisian utama ialah Sidang Idea Malaysia (SIM) yang menampilkan sesi The Ungku Aziz Legacy: Ideas That Shape Nation bagi mengangkat legasi pemikiran tokoh ekonomi negara, selain Our Dreams for Malaysia yang menghimpunkan pandangan barisan kepimpinan mengenai aspirasi dan masa depan Malaysia.

Perbincangan berkaitan kepimpinan pendidikan tinggi turut berlangsung menerusi ASEAN Higher Education Leadership Forum 2026 (ASHELF) yang merangkumi empat bidang utama iaitu kepimpinan global, dasar awam dan pembinaan negara, kepimpinan belia serta wanita dalam inovasi, selain forum berkaitan transformasi tadbir urus universiti dan pembangunan komuniti.

Dalam aspek penyelidikan, forum Leading Research Integrity in the Age of AI: Publishing with Integrity anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Elsevier mengetengahkan kepentingan integriti penyelidikan, etika penerbitan dan tadbir urus penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem akademik.

Pengunjung turut berpeluang meneroka perkembangan teknologi dan hasil inovasi menerusi Digital Innovation Creativepreneur (DICE 4.0), pertandingan robotik FIRA, demonstrasi teknologi dron, automotif dan realiti maya serta perkongsian berkaitan kecerdasan buatan, teknologi pertahanan dan mobiliti masa hadapan.

Pengisian lain termasuk forum Memacu Masa Depan Mobiliti: Inovasi, Autonomi dan Kelestarian, University Social Enterprise Competition 2026, pameran produk penyelidikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) , Pavilion KPT, Wall of Ideas serta pameran industri yang menampilkan pelbagai hasil inovasi dan perkembangan teknologi semasa.

Suasana festival turut diserikan dengan Ceritera Muzikal MADANI dan Kebudayaan yang menggabungkan elemen seni, persembahan dan kreativiti, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung melalui pengisian berteraskan pendidikan, kebudayaan dan nilai kemasyarakatan.

Selain itu, pengisian yang mendekati keperluan masyarakat turut disediakan menerusi Karnival Kerjaya yang membuka ruang penerokaan peluang pekerjaan, Karnival Mini Jom Masuk Universiti (JMU) yang memberikan pendedahan mengenai laluan melanjutkan pengajian ke IPT serta perkhidmatan klinik kesihatan bergerak oleh Hospital Pengajar Universiti (HPU).

Putrajaya FOI 2026 akan diteruskan esok dengan tema CHALLENGE – Mencabar Status Quo yang membawa pelbagai perbincangan, penerokaan dan pengisian baharu, justeru orang ramai dijemput hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 9 pagi hingga 6 petang untuk bersama-sama mengalami sendiri pengisian hari kedua festival.

“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”

  • Last updated on .
  • Hits: 72
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 18 November 2026, 09:29:19.

logo-sirim