Pendidikan Tinggi Malaysia Medan Diplomasi Baharu Eratkan Hubungan Antarabangsa

Pendidikan Tinggi Malaysia Medan Diplomasi Baharu Eratkan Hubungan Antarabangsa

13 Februari 2026 | Kuala Lumpur

Pendidikan tinggi kini bukan lagi sekadar urusan domestik sebaliknya merupakan instrumen diplomasi paling utuh yang melangkaui sempadan geopolitik bagi membina kepercayaan sejagat dan memupuk persefahaman antara negara.

​Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, hubungan berteraskan pendidikan adalah jambatan 'diplomasi insani' yang kekal relevan dan stabil walaupun landskap politik dunia serta perjanjian perdagangan antarabangsa sering berubah-ubah.

​Berucap merasmikan majlis Diplomatic Soirée bersama kira-kira 100 orang perwakilan diplomatik asing di ibu negara semalam, beliau menegaskan bahawa Malaysia kini berbangga menjadi tuan rumah kepada pelajar antarabangsa dari 160 buah negara yang membentuk ekosistem pendidikan global yang harmoni.

​Dalam memperkukuh agenda ini, KPT merangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang memperkenalkan model universiti fleksibel termasuk konsep 'Jukebox University', membolehkan pelajar mengambil kursus rentas institusi sebelum dianugerahkan ijazah.

​Menyentuh aspek teknologi, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim turut menekankan bahawa penguasaan literasi Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan mendesak yang wajib diintegrasikan ke dalam kurikulum bagi memastikan graduan kekal berdaya saing.

​Bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin memaklumkan bahawa Malaysia kini menawarkan tempoh pemprosesan visa antara yang terpantas di dunia, iaitu seawal lima hingga 14 hari bekerja, disokong oleh fasiliti Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

​Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman pula mengumumkan penganjuran University-Research-Industry-Investment Summit (URIIS) pada September 2026 serta Festival Idea (FOI) edisi ketiga tahun ini sebagai platform strategik untuk memadankan penyelidikan tempatan dengan keperluan industri global.

​Dari sudut akreditasi, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran memberi jaminan bahawa pengiktirafan bersama dan penawaran dwi-ijazah (dual degree) akan diperluas tanpa halangan birokrasi, seperti yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan universiti-universiti di Rusia.

​Membuktikan keprihatinan KPT terhadap kebajikan komuniti antarabangsa, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut memberi jaminan untuk membawa isu syarat visa tanggungan bagi keluarga pelajar pascasiswazah ke perhatian Kabinet dan Kementerian Dalam Negeri demi keselesaan pelajar yang berjauhan dari tanah air.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie; para Naib Canselor Universiti Awam. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1122
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 09 April 2026, 08:49:04.

logo-sirim