KPT Pertegas Agenda Keterangkuman, Jamin Kebajikan Mahasiswa Merentasi IPTA Dan IPTS

12 Februari 2026 | Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertegas komitmennya dalam memperkasa agenda keterangkuman dan kesejahteraan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan khusus kepada kebajikan, infrastruktur, dan pengiktirafan kepimpinan pelajar.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyatakan bahawa KPT sentiasa peka dengan denyut nadi mahasiswa terutamanya berkaitan isu kos sara hidup yang semakin menekan, bukan sahaja di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) Awam malah di IPT Swasta (IPTS).
Dalam sesi dialog santai bersama pimpinan mahasiswa daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), beliau memberi jaminan bahawa kementerian sedang meneliti mekanisme terbaik untuk memperluas inisiatif seperti Menu Siswa dan Dapur Siswa ke peringkat IPTS.
"Kita sedar ada pelajar IPTS yang datang daripada latar belakang keluarga B40 dan berdepan kesukaran mendapatkan makanan pada harga berpatutan," ujar beliau sambil menekankan keperluan bantuan yang saksama.
Susulan itu, beliau telah mengarahkan supaya perbincangan diadakan dengan pengurusan IPTS agar mereka turut memainkan peranan menyediakan makanan mampu milik atau 'Menu Rahmah' di dalam kampus masing-masing.
Menyentuh mengenai infrastruktur digital, YB Menteri menjelaskan bahawa KPT dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat menyelesaikan isu capaian internet di semua kampus bagi keselesaan pelajar.
Beliau turut menggalakkan pihak IPT untuk meneroka penyelesaian kreatif, termasuk penggunaan teknologi Starlink bagi kawasan yang sukar diakses, demi memastikan proses pembelajaran dapat berjalan lancar tanpa gangguan.
Selain itu, KPT turut memberi bayangan mengenai transformasi pendidikan TVET melalui cadangan penggubalan akta baharu untuk Politeknik dan Kolej Komuniti yang bakal mengangkat martabat institusi tersebut setaraf dengan universiti.
Langkah ini dilihat bakal memberi impak positif kepada ekosistem kepimpinan pelajar di politeknik agar lebih dinamik dan tidak lagi terkongkong dengan pendekatan lama, seiring dengan pemerkasaan mahasiswa.
Sesi dialog yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Presiden Persatuan Universiti dan Kolej Swasta Malaysia, Datuk Parmjit Singh; dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang ini, merupakan mukadimah kepada pemilihan kepimpinan baharu MPPK yang bakal dilangsungkan di UiTM Shah Alam nanti.
- Last updated on .
- Hits: 886
