Pemerkasaan Jaringan Strategik: 3 Timbalan Naib Canselor Terima Surat Pelantikan

Pemerkasaan Jaringan Strategik: 3 Timbalan Naib Canselor Terima Surat Pelantikan

14 Februari 2026 | Putrajaya

Usaha merapatkan jurang antara menara gading dan pihak industri menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi pelantikan barisan pengurusan tertinggi universiti yang berwibawa bagi memacu kolaborasi strategik.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyaksikan sesi penyerahan watikah pelantikan kepada tiga (3) Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Awam (UA) oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman di KPT semalam.

Fokus utama diberikan kepada pemerkasaan jaringan industri menerusi pelantikan Prof. Dr. Shamsul Bahri Mohd Tamrin sebagai TNC (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu berkuat kuasa 16 Februari 2026.

Beliau dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan University - Industry Research and Innovation Summit (URIIS) 2026, sebuah inisiatif berimpak tinggi anjuran KPT untuk merancakkan kolaborasi strategik antara universiti dan pemain industri.

Bagi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Ir. Ts. Dr. Juliana Johari yang dilantik sebagai TNC (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) bakal memanfaatkan pengalaman beliau sebagai bekas Ketua Pegawai Digital untuk membina ekosistem jaringan yang lebih efisien.

Pendekatan digital yang bakal dibawa oleh beliau dijangka dapat membuka akses yang lebih luas kepada peluang keusahawanan dan penglibatan alumni dalam pembangunan universiti secara lebih sistematik.

Bagi melengkapkan ekosistem teknikal, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad dilantik semula sebagai TNC (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk memacu agenda pemindahan ilmu dan teknologi kepada industri.

KPT percaya bahawa gabungan kepakaran ketiga-tiga tokoh ini mampu memperkukuh kedudukan UA terbabit sebagai hab penyelesaian masalah industri dan komuniti setempat selaras dengan aspirasi nasional.

Sinergi antara universiti dan industri ini adalah kritikal bagi memastikan graduan yang dihasilkan relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa serta mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan negara. 

  • Last updated on .
  • Hits: 774
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 09 April 2026, 08:49:04.

logo-sirim