Pencapaian Tiga Tahun Kerajaan MADANI: KPT Terus Pacu Kebolehpasaran Graduan Dan Inovasi Negara
Komitmen memperkasakan agenda Malaysia MADANI melalui lonjakan kualiti pendidikan tinggi dan pembangunan bakat terus menjadi teras utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyokong aspirasi negara menuju tahun 2026.
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim semalam telah menyempurnakan penutupan program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 di Putrajaya.
KPT mengambil bahagian secara aktif dalam program tiga (3) hari tersebut bagi menterjemahkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan komuniti mahasiswa.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut meluangkan masa melawat reruai pameran KPT yang mempamerkan inovasi serta pencapaian terkini kementerian dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
Kehadiran beliau ke reruai tersebut disambut oleh pengurusan tertinggi KPT sebagai manifestasi sokongan padu perkhidmatan awam terhadap usaha Kementerian memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara.
Dalam ucaptamanya, YAB Perdana Menteri turut meluncurkan Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insuran Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 yang bakal memberi manfaat besar kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia.
Program ini turut dimeriahkan dengan forum khas yang menampilkan kedua-dua YAB Timbalan Perdana Menteri bagi mengupas retrospektif dan peta jalan Kerajaan MADANI ke arah masa depan yang lebih mapan.
Penglibatan KPT dalam segmen Belia MADANI dan penganjuran karnival kerjaya membuktikan keseriusan Kementerian dalam menyediakan peluang pekerjaan dan jaminan masa depan kepada para graduan.
KPT akan terus bekerjasama rapat dengan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memastikan keberhasilan pentadbiran kerajaan dapat dirasai secara menyeluruh.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 245