Pameran Pendidikan Tinggi Melabuhkan Tirai Dengan Meriah
Pameran Pendidikan Tinggi bersempena Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku telah melabuhkan tirainya pada petang ini setelah berlangsung selama tiga (3) hari mulai 5 hingga 7 Disember 2025 di Pekarangan Dataran Putrajaya dengan dihadiri ramai para pengunjung khususnya warga Putrajaya dan sekitarnya.
Reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima kunjungan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan pada hari kedua program berlangsung manakala pada hari terakhir turut dimeriahkan dengan sesi ‘walkbout’ oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar.
Pelbagai perkhidmatan berkaitan pendidikan tinggi telah ditawarkan kepada pengunjung yang hadir ke reruai KPT yang dikelolakan oleh Bahagian Biasiswa KPT; Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT); Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Kolej Komuniti Hulu Langat dan Kolej Komuniti Selayang, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif juga telah diadakan yang dikendalikan oleh Kolej Komuniti Ampang dan Politeknik Sultan Abdul Aziz Salahuddin Shah (PSA). Reruai KPT juga telah membawakan #InspiredKitchen Kolej Komuniti Selayang khusus untuk penggemar kopi dengan menyediakan kopi percuma.
Selain Pameran Pendidikan Tinggi, KPT turut menampilkan Pameran Interaktif TVET dan STEM AI. Sepanjang tiga (3) hari penganjuran, pelbagai aktiviti interaktif TVET dibawa oleh Politeknik Banting Selangor, Kolej Komuniti Hulu Langat, Kolej Komuniti Sabak Bernam, Kolej Komuniti Kelana Jaya dan Kolej Komuniti Ampang Selangor. Para pengunjung juga telah berpeluang mencuba sendiri setiap aktiviti yang disediakan dan merasai pengalaman ‘hands-on’ yang menarik.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 108