Malaysia–Perancis Perhebat Kerjasama Strategik Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

14 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Perancis ke Malaysia, TYT Marc Abensour di Parlimen Malaysia pada hari ini.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya menerusi perluasan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi.
Antara fokus utama perbincangan ialah pemuktamadan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Perancis dalam bidang pendidikan tinggi. MoU ini merangkumi beberapa bidang kerjasama utama, antaranya pendidikan tinggi, pembelajaran dalam talian dan keusahawanan, selain menggalakkan pertukaran pelajar, ahli akademik dan kepakaran, perkongsian amalan terbaik serta penganjuran program akademik secara bersama.
Dalam pertemuan tersebut, YB Menteri turut mengetengahkan keupayaan dan kepakaran universiti tempatan dalam bidang sains marin dan pengajian maritim, khususnya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Kekuatan yang dimiliki oleh institusi-institusi ini membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama lebih luas dengan IPT dan penyelidikan di Perancis, meliputi bidang penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan ilmu berkaitan marin dan maritim.
Turut dibincangkan adalah mengenai kesinambungan kerjasama penyelidikan menerusi program Hubert Curien Partnership France-Malaysia Hibiscus (PHC Hibiscus) yang menjadi antara platform penting dalam menggalakkan kolaborasi penyelidikan antara penyelidik Malaysia dan Perancis. Kedua-dua pihak turut memberi perhatian terhadap potensi memperkukuh pelaksanaan dan kelestarian inisiatif tersebut bagi menyokong kerjasama penyelidikan yang lebih berimpak tinggi.
Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai potensi penerokaan bidang kerjasama baharu, termasuk dalam bidang sains sosial, di samping memperluas jaringan kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kedua-dua negara. Pendekatan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran dan pembangunan ilmu yang memberi manfaat kepada Malaysia dan Perancis.
KPT juga yakin hubungan strategik Malaysia–Perancis akan terus diperkasakan selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya dalam memperluas pengantarabangsaan pendidikan tinggi, memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi serta melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat global.
- Last updated on .
- Hits: 57
