KPT Iktiraf Kecemerlangan Warga Akademik POLYCC, Pemacu Utama TVET Negara

14 Oktober 2026 | Port Dickson
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa kecemerlangan warga akademik merupakan antara tunjang utama dalam memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara, khususnya dalam mendepani perubahan teknologi serta keperluan industri yang semakin dinamik.
Penegasan tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sempena Majlis Anugerah Akademik POLYCC (AA POLYCC) 2026 anjuran KPT menerusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Dalam amanatnya, beliau menekankan bahawa kekuatan institusi TVET bukan sekadar bergantung pada kemudahan dan kecanggihan teknologi, malah turut ditentukan oleh keupayaan, kepakaran serta komitmen warga akademik dalam melahirkan graduan berkualiti.
Sehubungan dengan itu, warga akademik POLYCC perlu terus memperkukuh kompetensi dan menyesuaikan pendekatan pengajaran serta pembelajaran dengan perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan automasi, agar kekal relevan dengan keperluan industri semasa.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, pemerkasaan TVET perlu memberi penekanan kepada pembangunan graduan yang berdaya saing, berfikiran kritis dan berintegriti tinggi bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja masa hadapan.
Dalam pada itu, KPT menekankan bahawa pembangunan kerjaya dan keberhasilan warga akademik wajar dinilai berdasarkan impak serta sumbangan sebenar kepada pelajar, industri dan masyarakat, bukan semata-mata berdasarkan kenaikan pangkat.
Bagi memperluas keterlihatan kecemerlangan akademik POLYCC di peringkat kementerian, KPT turut mengemukakan cadangan agar JPPKK menjadi tuan rumah penganjuran Hari Akademik peringkat kementerian pada masa hadapan.
Penganjuran AA POLYCC 2026 bersempena Bulan Akademik ini turut menjadi wadah penghargaan terhadap dedikasi, ketekunan dan sumbangan warga akademik dalam membimbing generasi masa hadapan.
Kecemerlangan ilmu, kemahiran profesional dan nilai kemanusiaan akan terus menjadi teras POLYCC dalam memperkukuh peranannya sebagai peneraju TVET negara.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah serta pegawai-pegawai kanan KPT dan JPPKK.
- Last updated on .
- Hits: 96
