iFUTURE 2026 Labuh Tirai, YB MENTERI Seru Anak Muda Berani Depani Realiti, Teguh Pegang Nilai dan Integriti

iFUTURE 2026 Labuh Tirai, YB MENTERI Seru Anak Muda Berani Depani Realiti, Teguh Pegang Nilai dan Integriti

14 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Pemimpin muda perlu berani berdepan realiti, bijak membuat keputusan dan teguh berpegang pada nilai serta integriti untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata pemimpin muda perlu mengenal pasti masalah semasa, menilai sesuatu keadaan daripada pelbagai sudut dan membina kebijaksanaan melalui pengalaman serta disiplin diri.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berucap ketika merasmikan penutupan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (International Young Future Leaders Summit, iFUTURE) 2026 petang semalam.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan 1,231 orang mahasiswa, terdiri daripada 813 orang mahasiswa Malaysia dan 418 orang mahasiswa antarabangsa dari 60 buah negara.

Justeru, beliau menggesa mahasiswa membina pemikiran global, kecerdasan budaya dan keterbukaan intelektual supaya tidak terkurung dalam kepompong sendiri.

Beliau turut menzahirkan harapan agar iFUTURE, yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya, diteruskan pada edisi keempat.

Sebagai hasil sidang kemuncak itu, Resolusi iFUTURE 2026 yang memuatkan 10 iltizam diserahkan kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi.

Resolusi itu merangkumi cadangan mengenai penyertaan belia dalam penggubalan dasar, literasi kecerdasan buatan yang kritis dan beretika, kesejahteraan mahasiswa, peluang pekerjaan graduan serta penglibatan pelbagai pihak dalam pembangunan negara.

Edisi kali ini turut memperkenalkan Kuala Lumpur iFUTURE Explorace (KLiX) 2026, aktiviti suai kenal yang menggabungkan penerokaan bandar menggunakan pengangkutan awam, cabaran berkumpulan dan permainan tradisional, dengan dua (2) rekod Malaysia Book of Records (MBOR) telah berjaya dicatatkan.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bertemakan "Mentakrif Semula Kepimpinan Masa Hadapan Berteraskan Nilai".

  • Last updated on .
  • Hits: 47
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 14 Oktober 2026, 10:53:34.

logo-sirim