KARISMA 2026: Lima Resolusi Pacu Pembangunan Pemimpin Pelapis IPT

KARISMA 2026: Lima Resolusi Pacu Pembangunan Pemimpin Pelapis IPT

14 Oktober 2026 | Tanjong Malim, Perak

Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2026 merumuskan lima (5) resolusi bagi memperkemas pembangunan bakat kepimpinan, menyediakan barisan pelapis berkualiti dan memastikan kesinambungan kepimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara.

Resolusi yang diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir itu merangkumi penyediaan latihan kepimpinan, program sangkutan di industri dan agensi berkaitan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), penglibatan bersama komuniti, pembinaan jaringan industri serta pembangunan pelan penggantian kepimpinan yang tersusun.

Konvensyen anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menghimpunkan 1,000 orang pensyarah muda dan pentadbir muda daripada universiti awam, IPT negeri dan swasta, politeknik dan kolej komuniti bagi membincangkan keperluan kepimpinan semasa serta cabaran masa depan pendidikan tinggi.

Bertemakan “Memperkasa Kepemimpinan Masa Hadapan”, konvensyen yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu menjadi medan perbincangan mengenai tiga (3) bidang utama, iaitu kesejahteraan hidup dan kerjaya, pembangunan karisma kepimpinan serta cabaran masa depan pendidikan tinggi, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Antara cadangan utama ialah penyediaan latihan menyeluruh yang merangkumi kesejahteraan mental, keseimbangan kerjaya, pemikiran strategik, kemahiran perundingan, pengurusan krisis, pemikiran masa hadapan, integriti, kemampanan kewangan dan kesihatan planet bagi menyediakan pemimpin muda menghadapi perubahan persekitaran pendidikan tinggi.

Resolusi itu turut mencadangkan program sangkutan di industri dan agensi berkaitan KPT bagi memberi pendedahan kepada pensyarah serta pentadbir muda tentang peranan dan tanggungjawab kepimpinan, selain memperluas penglibatan mereka dalam aktiviti komuniti serta kerjasama industri yang boleh membuka ruang kepada penyelidikan dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Bagi memastikan kesinambungan kepimpinan, konvensyen itu mengesyorkan pelan penggantian yang tersusun untuk membangunkan kumpulan bakat yang berwibawa dan berintegriti, sekali gus menyediakan calon pemimpin yang bersedia memikul tanggungjawab pada masa hadapan.

Dalam amanatnya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa kepimpinan IPT perlu berasaskan matlamat yang jelas, nilai dan tanggungjawab bersama, bukannya sekadar mengejar jawatan, selain menekankan kepentingan kerjasama seluruh warga institusi dalam menentukan kejayaan organisasi.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan model bahasa besar (LLM) perlu diseimbangkan dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan dan pertimbangan etika, selain menggalakkan peluasan mobiliti antarabangsa bagi pensyarah muda melalui jaringan akademik dan kerjasama rentas negara.

Majlis perasmian penutup dan penyerahan resolusi disempurnakan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry, yang turut melancarkan buku Kepimpinan Hadhari yang menghimpunkan gagasan pembangunan kepimpinan berteraskan nilai Hadhari dalam konteks pendidikan tinggi.

  • Last updated on .
  • Hits: 46
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 16 Oktober 2026, 08:51:40.

logo-sirim