KSU KPT Tekankan Kepimpinan Beretika, Berani Bertindak dan Berasaskan Data

KSU KPT Tekankan Kepimpinan Beretika, Berani Bertindak dan Berasaskan Data

26 September 2026 | Port Dickson, Negeri Sembilan

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim menekankan kepentingan warga KPT melaksanakan amanah dengan beretika, berani mengambil tindakan serta berasaskan data dalam membuat keputusan.

Beliau berkata pendekatan Ethos, Pathos dan Logos yang menjadi pegangannya merangkumi nilai etika dalam mengurus amanah awam, keberanian mengambil tindakan serta penggunaan data dan logik bagi memahami sesuatu isu sebelum keputusan dibuat.

Menurutnya, warga KPT juga perlu sentiasa positif, bekerja secara berpasukan dan bersedia mempelajari perkara baharu daripada orang di sekeliling kerana sesuatu kejayaan tidak dicapai oleh seseorang secara bersendirian.

“Jangan rasa kita berjaya kerana kita seorang, kerana banyak sebenarnya doa dan sokongan daripada orang lain yang membawa kita ke sesuatu tempat,” katanya ketika sesi perkongsian pada Program Komunikasi, Munsyi Bahasa dan Pemerkasaan Kecemerlangan Kepimpinan melalui Pengaturcaraan Neuro-Linguistik (Empowering Leadership Excellence Through Neuro-Linguistic Programming – NLP) di sini, semalam.

YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin berkata pemimpin juga perlu mengenal pasti kekuatan setiap anggota pasukan dan menggunakan kelebihan tersebut secara optimum, selain bersedia menjadi pelindung kepada pasukan ketika berdepan tekanan atau kritikan.

Beliau turut mengingatkan warga KPT supaya tidak menganggap diri sebagai sempurna kerana setiap pertemuan dan pandangan daripada orang lain merupakan peluang untuk menambah ilmu, memahami isu serta memperbaiki cara bekerja.

Dalam konteks KPT, beliau berkata kebajikan mahasiswa dan pembangunan kerjaya pensyarah perlu diberi perhatian berdasarkan keperluan sebenar, termasuk memastikan pensyarah mempunyai ruang untuk meningkatkan kepakaran, melanjutkan pengajian dan membina jaringan profesional.

Katanya, keperluan mahasiswa juga perlu difahami berdasarkan latar kehidupan mereka kerana terdapat pelajar yang menerima bantuan kewangan tetapi sebahagiannya disalurkan kepada keluarga sehingga mereka sendiri masih berdepan kekangan untuk memenuhi keperluan asas.

YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin turut menggalakkan warga KPT supaya berani mengemukakan idea dan mencuba pendekatan baharu kerana sesuatu cadangan hanya dapat dinilai apabila ia dibawa untuk dibincangkan serta dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Program anjuran Seksyen Pembangunan Kompetensi dan Latihan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPT itu turut memberi ruang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin melalui sesi perkongsian pengalaman, pandangan dan soal jawab berkaitan kepimpinan serta pengurusan dalam perkhidmatan awam.

  • Last updated on .
  • Hits: 43
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 28 September 2026, 10:34:15.

logo-sirim