Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan Bersama TalentCorp

25 September 2026 I Putrajaya
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Puan Biruntha Mooruthi bagi membincangkan usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan serta pembangunan bakat yang selari dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.
Sesi ini turut merangkumi pengenalan TalentCorp kepada KPT serta perkongsian berkaitan platform dan inisiatif TalentCorp. Turut diberi perhatian ialah kerjasama KPT dan TalentCorp dalam memanfaatkan data pasaran pekerjaan, khususnya bagi mengenal pasti trend, keperluan dan permintaan kemahiran industri untuk menyokong perancangan serta pelaksanaan intervensi pembangunan bakat yang lebih bersasar.
Turut dibincangkan pendekatan strategik TalentCorp “Dari Kampus ke Dunia Pekerjaan” melalui pelaksanaan “Campus Outreach” TalentCorp 2026. Inisiatif ini melibatkan jerayawara kampus oleh pasukan TalentCorp yang merangkumi lima (5) wilayah, iaitu Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Pantai Timur, Zon Utara dan Zon Borneo, bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa berkaitan perkembangan pasaran pekerjaan, keperluan kemahiran dan persediaan memasuki alam kerjaya.
Kerjasama KPT dan TalentCorp ini diharap dapat terus merapatkan hubungan antara pendidikan tinggi dan dunia pekerjaan, dengan memanfaatkan data, perkongsian kepakaran serta pendekatan turun padang bagi menyokong pembangunan bakat yang relevan, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.
- Last updated on .
- Hits: 300
