YAB PM Umum Kampus UiTM Jalan Othman Dinamakan Kampus Tun Arshad Ayub, Hargai Sumbangan Allahyarham Kepada Pendidikan Tinggi Negara

26 September 2026 | Shah Alam, Selangor
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kampus UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya dinamakan semula sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub sebagai penghormatan terhadap sumbangan Allahyarham Tun Dr. Arshad Ayub dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
Allahyarham Tun Dr. Arshad Ayub merupakan Pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) dan Pro-Canselor UiTM yang memainkan peranan penting dalam membangunkan ITM sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang menyediakan peluang pendidikan kepada masyarakat Bumiputera.
Menurut YAB Perdana Menteri, penamaan kampus berkenaan diharap dapat memastikan jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Arshad Ayub terus dikenang, khususnya dalam aspek kepimpinan pendidikan, tadbir urus, integriti dan pembangunan institusi.
Dalam perkembangan sama, YAB Perdana Menteri mengumumkan kelulusan peruntukan segera sebanyak RM2.5 juta bagi Kampus UiTM Tun Arshad Ayub untuk menyokong keperluan pembangunan kampus berkenaan.
YAB Perdana Menteri turut memberi amanah kepada Persekutuan Alumni UiTM Malaysia untuk memilih antara tujuh (7) hingga 10 orang alumni berpengalaman bagi membantu kerajaan menilai serta mengemukakan cadangan penambahbaikan agenda pembangunan Bumiputera, khususnya berkaitan UiTM.
Beliau berkata kepakaran alumni boleh dimanfaatkan bagi mengenal pasti bidang baharu yang perlu diberi perhatian, termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan bidang kesihatan, selain memperluas peranan UiTM sebagai pusat kecemerlangan akademik.
YAB Perdana Menteri berkata peruntukan pengurusan dan pembangunan UiTM bagi tahun 2026 berjumlah RM3.08 bilion, berbanding kurang RM2 bilion sebelum ini, sekali gus menunjukkan perhatian kerajaan terhadap pembangunan institusi pendidikan tinggi tersebut.
Beliau berkata agenda pembangunan Bumiputera perlu dilaksanakan berasaskan prinsip keadilan sosial dengan memastikan kemajuan dan peluang yang disediakan tidak menafikan hak serta kepentingan masyarakat lain.
YAB Perdana Menteri turut menekankan keperluan universiti memastikan kurikulum sentiasa selari dengan keperluan industri, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta peluang memperoleh pendapatan yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian, termasuk memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak berdepan masalah mendapatkan makanan sepanjang tempoh pengajian.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan pekerjaan, pendidikan serta pendapatan yang lebih baik, termasuk memastikan peningkatan produktiviti bergerak seiring dengan peningkatan gaji.
Himpunan Mesra Alumni UiTM bersama YAB Perdana Menteri itu turut menyaksikan sambutan ulang tahun ke-70 UiTM, penyampaian Biasiswa Alumni UiTM kepada lima (5) orang pelajar, lapan (8) Anugerah Tokoh Alumni UiTM 2026 dan Anugerah Khas Tokoh Alumni UiTM Sepanjang Zaman kepada waris Allahyarham Tun Dr. Arshad Ayub.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh dan Datuk KY Mustafa; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khamil Jamil, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; serta Presiden Persekutuan Alumni UiTM Malaysia, Saiful Azhar Shaharun.
- Last updated on .
- Hits: 38
