KPT Perkukuh Kerjasama Awam–Swasta Demi Kemudahan Kampus Yang Lebih Selesa

KPT Perkukuh Kerjasama Awam–Swasta Demi Kemudahan Kampus Yang Lebih Selesa

Peranan kerjasama awam–swasta dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi menjadi fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkongsi pandangan sebagai panel dalam sesi forum 'INTAN Mind Share' siang tadi.

Forum anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara tersebut telah menghimpunkan wakil kerajaan, agensi pusat serta rakan industri dalam satu sesi wacana yang tersusun.

Dalam diskusinya, YBhg. Datuk Dr. Anesee menjelaskan bahawa pendekatan kerjasama awam–swasta digunakan bagi membantu kementerian menyediakan kemudahan kampus yang lebih selesa dan kondusif kepada pelajar.

Beliau menegaskan bahawa setiap projek yang dirancang mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan, kemampuan pelajar dan keperluan sebenar universiti supaya manfaatnya dapat dirasai secara seimbang.

Pada program tersebut, para hadirin telah menyaksikan rakaman khas ucaptama oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang antara lain menekankan kepentingan kerjasama awam–swasta sebagai pemacu Ekonomi MADANI.

Melalui ucaptama tersebut, YBhg. Tan Sri KSN menegaskan bahawa Pelan Induk Kerjasama Awam–Swasta 2030 (PIKAS 2030) memberi hala tuju jelas kepada kementerian termasuk KPT dalam merancang projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat.

YBhg. Datuk Dr. Anesee turut menyentuh bagaimana pelan berkenaan membolehkan KPT memperluas kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan asrama, kemudahan pembelajaran dan infrastruktur sokongan yang memenuhi keperluan semasa kampus.

Beliau menjelaskan bahawa setiap cadangan projek yang melibatkan universiti awam akan disemak bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya selari dengan syarat dan standard kerajaan.

KPT melihat platform seperti 'INTAN Mind Share' sebagai ruang yang baik untuk berkongsi pengalaman, mendengar pandangan pihak lain dan menambah baik pelaksanaan kerjasama awam–swasta pada masa hadapan.

Turut hadir Pengarah INTAN, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Muhammad Razman Abu Samah; Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak; serta moderator, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 225
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim