KPT Perkukuh Batu Asas Pendidikan Tinggi Negara Menerusi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035

KPT Perkukuh Batu Asas Pendidikan Tinggi Negara Menerusi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited meletakkan batu asas kukuh bagi memacu masa depan negara menerusi persediaan ke arah Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

Bercakap kepada hos, Syuhaida Ariffin dalam program Selamat Pagi Malaysia pagi tadi, beliau menyifatkan tahun 2025 sebagai tahun penting yang menyaksikan kejayaan penganjuran program berimpak tinggi seperti Festival Idea Putrajaya (FOI) dan ASEAN Education Ministers Roundtable.

Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global, malah Setiausaha Agung ASEAN turut menyarankan agar FOI diangkat sebagai acara tahunan serantau.

YBhg. Datuk Dr. Mohd Nor Azman menegaskan bahawa KPT terus mempercepat agenda keterangkuman dan akses pendidikan untuk semua termasuk kumpulan B40, M40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penambahbaikan sistem UPUOnline yang kini mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Fokus kebajikan pelajar turut diperkasakan menerusi program turun padang seperti Semarak Kampus Madani yang memberi ruang kepada pelaksanaan inisiatif prihatin seperti Dapur Madani hasil maklum balas terus daripada mahasiswa.

Menyentuh aspek kebolehpasaran, beliau menyatakan tumpuan kementerian kini adalah untuk melahirkan graduan TVET yang memperoleh pekerjaan premium dengan pendapatan RM4,000 ke atas.

Jelas beliau, usaha ini melibatkan pemadanan bakat dengan keperluan industri masa depan khususnya dalam sektor semikonduktor, robotik, AI, keselamatan siber dan teknologi pasca-kuantum kriptografi.

Nilai teras Madani terutamanya hormat, keyakinan dan kemampanan turut diterapkan, termasuk konsep kesihatan planet (planetary health) bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik tetapi cakna terhadap pemeliharaan bumi.

“Kita mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa ke depan berdasarkan keupayaan sebenar dan merit, namun pada masa sama membangunkan seluruh masyarakatnya menerusi pendidikan tinggi,” katanya. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 219
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Disember 2025, 09:37:58.

logo-sirim