KPT Perkukuh Agenda Inklusiviti OKU Melalui Tindakan Berimpak di IPT

9 Jun 2026 | Bandar Enstek, Negeri Sembilan
Komitmen menterjemahkan dasar inklusiviti kepada tindakan nyata terus diperkukuh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menikmati akses pendidikan tinggi yang saksama.
Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika merasmikan Majlis Penutup Program Kepimpinan Strategik untuk Inklusiviti OKU di Institusi Pendidikan Tinggi Awam di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini pagi tadi.
Beliau berkata, sesuatu dasar tidak seharusnya kekal sebagai dokumen perancangan semata-mata tanpa pelaksanaan yang memberi impak kepada kumpulan sasar.
Menurut beliau, agenda keterangkuman perlu diterjemahkan melalui tindakan yang mampu meningkatkan aksesibiliti, kebolehgunaan fasiliti dan peluang pembelajaran kepada semua mahasiswa.
Dalam konteks itu, KPT sedang merangka hala tuju pendidikan tinggi masa hadapan yang mengambil kira keperluan pelbagai kategori OKU secara lebih menyeluruh.
Beliau turut menegaskan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu beralih daripada pendekatan pematuhan kepada pembudayaan amalan inklusif dalam ekosistem kampus.
Katanya, kemudahan asas seperti laluan mesra OKU dan fasiliti sokongan yang sesuai menjadi indikator penting terhadap kesungguhan sesebuah institusi melaksanakan agenda tersebut.
Beliau juga menggesa IPT awam dan swasta supaya mengelakkan pendekatan terlalu rigid dalam mempertimbangkan kemasukan pelajar OKU yang mempunyai potensi besar untuk berjaya.
Program anjuran AKEPT dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menghimpunkan barisan kepimpinan IPT bagi memperkasa kefahaman berkaitan inklusiviti.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Disability Services Unit UIAM, Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin; Mejar Jeneral Dato' Yusri Anwar (B); Naib Canselor universiti awam; Timbalan-Timbalan Naib Canselor; serta pegawai kanan KPT dan IPT.
- Last updated on .
- Hits: 132
