Universiti Islam Pertama di Australia Bakal Direalisasikan, UIAM Jadi Penanda Aras Utama

Universiti Islam Pertama di Australia Bakal Direalisasikan, UIAM Jadi Penanda Aras Utama

10 Jun 2026 I Putrajaya

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Founder of the United Muslims of Australia, Sheikh Shadi Alsuleiman di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada hari ini.

Pertemuan ini telah membincangkan pelbagai isu berkaitan perkembangan Islam di peringkat serantau dan global, termasuk kemajuan serta peranan komuniti Muslim di Australia dalam memperkukuh agenda pendidikan, dakwah dan pembangunan masyarakat yang inklusif serta berdaya saing.

Dalam pertemuan tersebut juga, Sheikh Shadi memaklumkan bahawa Australia sedang melakar sejarah baharu melalui perancangan penubuhan universiti Islam pertama di negara itu yang bakal dibangunkan di Sydney. Inisiatif bersejarah ini dilaporkan mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Australia, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan institusi pendidikan tinggi Islam dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang inklusif, progresif dan berteraskan nilai-nilai sejagat.

Penubuhan universiti tersebut dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam landskap pendidikan Islam di Australia kerana ia berpotensi menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang mampu melahirkan generasi cendekiawan, pemimpin dan profesional Muslim yang berwibawa serta berupaya menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat antarabangsa.

Sheikh Shadi turut memaklumkan bahawa pihak pengasas menjadikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai antara penanda aras utama dalam pembangunan universiti tersebut, khususnya dari segi model tadbir urus, integrasi ilmu naqli dan aqli, pembangunan akademik serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi Islam.

Hadir sama dalam sesi ini ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 58
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 15 Jun 2026, 10:03:49.

logo-sirim