Kolej Komuniti Pontian: Mercu Tanda Baharu Pembangunan Pendidikan Sepanjang Hayat dan Ekonomi Setempat

14 Mei 2026 | Pontian, Johor
Penyediaan akses pendidikan kemahiran yang berkualiti, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa kekal menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan modal insan berdaya saing serta kalis masa hadapan.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolej Komuniti (KK) Pontian yang berlangsung di Kompleks Penghulu Mukim Benut pagi tadi.
Projek pembinaan bernilai RM70 juta itu bakal dibangunkan di atas tanah seluas lapan (8) ekar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2028 atau 2029, dengan fokus utama kepada penawaran program Sijil Agroteknologi dan Sijil Teknologi Pertanian Lestari yang sejajar dengan kekuatan sektor pertanian dan keperluan industri Daerah Pontian.
Selain menawarkan program sijil sepenuh masa yang menyasarkan kemasukan seramai 200 orang pelajar, KK Pontian turut akan memperkukuh pelaksanaan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat melalui akses latihan kemahiran secara berterusan.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut mengumumkan bahawa program PSH akan mula dilaksanakan seawal dua (2) minggu lagi dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada di Kompleks Penghulu Mukim Benut, sekali gus membolehkan penduduk sekitar mengikuti latihan dalam bidang keusahawanan, jahitan, masakan serta pelbagai kemahiran teknikal asas yang lain tanpa perlu menunggu kampus baharu siap sepenuhnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri dan kerajaan bertanggungjawab memastikan akses pendidikan yang adil serta bermakna dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial mahupun pencapaian akademik terdahulu.
Menurut beliau, peningkatan permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuktikan kesedaran masyarakat semakin tinggi terhadap nilai pendidikan berasaskan kemahiran yang bukan sahaja membuka peluang kerjaya lebih luas, malah menawarkan jaminan kebolehpasaran graduan yang lebih kukuh.
Beliau turut menekankan bahawa kolej komuniti bukan sekadar institusi pendidikan, sebaliknya berperanan sebagai pusat pembangunan komuniti yang menyediakan ruang pembelajaran sepanjang hayat, memperkasa masyarakat setempat dan merapatkan jurang sosioekonomi melalui pendidikan.
Pada masa sama, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan, berkata pembinaan kolej komuniti tersebut amat dinantikan oleh penduduk setempat kerana diyakini mampu menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan di daerah Pontian.
Turut hadir, ADUN Benut, Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad; ADUN Pulai Sebatang, Hajah Hasrunizah Hassan; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Pegawai Daerah Pontian, Haji Kamaluddin Haji Jamal.
- Last updated on .
- Hits: 98
